Showing posts with label RANGSANG ANAK BELAJAR. Show all posts
Showing posts with label RANGSANG ANAK BELAJAR. Show all posts

Monday, 13 September 2021

MEMUPUK RASA SEMANGAT DI MUSIM ENDEMIK COVID 19

Hari ini anaknda Wafirah mengajak saya mengalihkan pokok jagungnya dari polibeg ke tapak tanaman. Tak banyak. Hanya 3 pokok sahaja. Ini adalah untuk percubaannya untuk tanam sendiri pokok tersebut.

Bermula dari memesan biji benih secara online kemudian semai menggunakan polibeg yang sedia ada. Setiap polibeg hanya isi 2 biji benih sahaja.  Saya tak tanam banyak untuk dia fokus sahaja kepada anak-anak poko tersebut dari menjaga dan menyiramnya. Nampaknya berhasil.

Saya nampak timbul rasa seronok dia bukan main ya Melihat pokok-pokok tersebut membesar dengan cepat. Rasa puas hati apabila apabila apa yang dibuat berhasil.

Terperuk di dalam rumah semasa musim pkp memang memenatkan dan meletihkan. Letih mata letih badan asyik melihat screen telefon aje memanjang. Jadi saya ambil alternatif bermesra dengan alam sekali sekala.

Fitrahnya manusia itu berasal dari tanah. Maka dengan tanah juga kita kembali bermain dan berhibur untuk melepaskan lelah. Mahu pergi berekreasi di pusat rekreasi sudah rasa cuak. 2 hari lepas kami ke pusat rekreasi Pulau Chekas Raub. Saya lihat ramai orang. Tak sangka sungguh. Tapi disebabkan dah sampai sana makanya turun jugalah ke tapak rekreasi. Sambil makan dan minum,berjumpa kembali sedara-sedara yang sudah lama tidak ketemu.

Dalam pada itu rasa lapang dada apabila melihat air yang mengalir deras.Batu-batu yang basah diselaputi air,pokok-pokok yang bewarna warni meredakan rasa tekanan berada di rumah. Tapi itulah dengan keadaan sekarang rasa kurang selesa apabila berada di tempat awam begitu.

Berbalik kepada cerita pokok jagung Wafirah tadi. Bercucuk tanam rupanya boleh menimbulkan rasa jiwa yang segar,jiwa yang hidup. Saya ada juga terbaca di beberapa blog yang lain. Selain dari mendapat pahala dengan bercucuk tanam juga akan dapat menghidupkan hati-hati manusia agar lebih bersyukur,lebih tenang melihat kebesaran Ilahi dan menghidupkan rasa tanggungjawab kepada anak-anak. 

Hadis nabi juga ada menyatakan bahawa dengan hasil tanaman kita tersebut akan menjadi sedekah kepada apa sahaja yang ada dibumi. Kepada jiran, burung-burung yang datang bertenggek untuk menumpang teduh atau pun menjadikannya sebagai sumber makanan. Besar makna sedekah. Mengalir berpanjangan.

Saya menyeru kepada semua pembaca yang budiman. Marilah sama-sama kita terapkan budaya bercucuk tanam ini dikalangan anak-anak.Hidupkan kembali amalan sunnah nabi. Hidupkan kembali rasa ceria dan gembira anak-anak atas segala usaha mereka selama ini. Ianya melambangkan satu perkara yang dibuat tidak sia-sia. Malah beroleh rahmat dari Allah SWT.
Teruskan belajar ya.Teruskan belajar walaupun secara online. Akhir zaman nanti semakin sedikit manusia yang berminat dengan ilmu. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan tersebut.

Amin.
 

Wednesday, 20 September 2017

BEKAS PENSIL

63/100
Teks: Niyda
Foto: Google


Seronok belajar dengan pensil.  Bagi saya ia satu keperluan.  Memang sudah ada kotak pensil di dalam beg tetapi akan lebih senang jika ada bekas pensil di atas meja sendiri.  Bekas pensil pula bermacam-macam warna dan bermacam bentuk.  Harapnya dapat merangsang daya kreativiti anak-anak kita.

Bagi saya sendiri bekas pensil yang tersedia ada saya tidak beli.  Saya menggunakan mug atau gelas besar yang biasanya suami saya dapat sebagai cenderahati apabila pergi ke mana-mana program atau ceramah.  Berderetlah di atas meja.  Seronoknya bila terpandang bekas pensil itu  mulalah wujud idea-idea nak buat sesuatu.

Bekas pensil ini ibu-ibu boleh asingkan kepada beberapa bahagian.  Contohnya bekas pesil yang pertama hanya untuk marker atau highlight atau untuk pen yang besar.  Untuk bekas pensil yang kedua pula boleh isi dengan set pemadam yang comel dan akhir sekali bekas pensil yang ke tiga ibu-ibu boleh isi dengan pensil atau pen yang kecil-kecil.

Ada juga tu opsss saya sendiri sediakan pasu bunga kecil sebagai bekas pensil di bawah meja.  Nak tahu tujuannya apa?  Ha mesti nak gelakkan saya kan!  Pasu itu saya guna untuk kumpulkan pen-pen atau pensil atau pemadam yang saya jumpa di merata-rata tempat dalam rumah.  Biasalah apabila ada anak-anak kecil mereka ni suka sangat letak merata-rata selepas guna alat tu.  Maka sana sinilah jawabnya berterabur.  Lalu saya beli satu pasu bunga saiz sederhana dan saya letakkan di bawah meja supaya senang apabila saya menyapu dan terjumpa alat-alat mereka itu, saya masukkan dulu dalam pas itu. 

Ibu-ibu boleh buat ikut kreativiti masing-masing.  Mungkin ada yang beli bakul khas.  Maka boleh letak bawah meja untuk persediaan mengumpul barang-barang anak ini tadi. Maklumlah musim gst ini semua barang mahalkan.  Jadi kena pandai-pandai berjimatlah.  Dulu main sapu je…Malas punya pasal nak kutip balik.  Sekarang kena beringatlah.


MEJA BELAJAR ANAK-ANAK

62/100
Teks:Niyda
Foto:  Google

Berpagi-pagi hari ini menyiapkan bekalan sekolah anak-anak.  Sudah menjadi kebiasaan bagi saya menyiapkan makan tengah hari seawal mungkin.  Anak-anak tidak akan pulang tengahhari kerana biasanya saya yang akan menghantar bekalan makanan tengahhari.  Selepas menemankan mereka makan ,mereka akan terus ke kelas KAFA.  Siap-siap baju Kafa dibawanya sekali pagi tadi.

Semalam juga saya berpeluang mengintai-ngintai rak fail dan meja belajar anak-anak yang baru.  Di rumah kami sudah ada dua buah meja.  Namun fungsinya hanyalah untuk meletakkan buku-buku anak mengikut sudut masing supaya tidak mudah berterabur dan bercampur.  Untuk sessi ulangkaji pula biasanya kami akan duduk bersama di meja makan yang telah saya siapkan bersih dan kemas semasa sessi ulangkaji.  Ini bagi memudahkan saya menyemak dan memantau aktiviti anak-anak.

Kadang-kadang anak-anak ini biasalah suka sangat buat perkara yang diluar dugaan kita.  Contohnya suka main gunting-gunting kertas atau mewarna padahal waktu itu fokus untuk membuat latih tubi soalan.  Jadi saya ambil keputusan jadikan meja makan kami tempat untuk mereka mengulangkaji pelajaran dan dalam masa yang sama mudahlah saya memantau aktiviti mereka.

Melihat kepada meja belajar anak-anak tersebut, saya kira ianya sangat bagus.  Dengan warna dan reka letak meja tersebut sangat membantu merangsang anak-anak untuk lebih semangat belajar.  Anak-anak yang ada sudut tersendiri di rumah akan lebih fokus dan terarah.  Bagus juga jika dilekatkan catatan atau nota motivasi di hadapan meja belajar supaya kosentrasi anak untuk belajar lebih mendalam.

Harga meja belajar yang saya lihat tidaklah mahal.  RM 250.00 pun sudah dapat.  Kira mampu milik orang kata.  Ada yang saya lihat tu alas mejanya boleh dilipat-lipat manakala raknya yang bertutup boleh memuatkan buku-buku rujukkan anak-anak kita.  Sangat sesuai untuk anak-anak mempunyai ruang yang tersendiri.  Jika mempunyai kemampuan boleh saja dijadikan hadiah untuk anak-anak atas kejayaan dalam peperiksaan mereka nanti.

Namun untuk ketika ini pakai sahaja meja yang ada asal boleh. Tidak menjadi satu kesalahan bukan menggunakan meja makan untuk belajar?  Janji ibu-ibu kena kreatif mencari idea bagaimana dapat bersama anak-anak dan dalam masa yang sama dapat memantau sessi ulangkaji bersama mereka di rumah.  Jika mempunyai jiran yang mempunyai anak yang sama baya dengan anak-anak kita, ajak mereka bersama.  Kadang-kadang anak-anak ini lebih seronok belajar secara berkumpulan.  Kita sebagai ibu pun lebih berdisplin menjaga masa belajar mereka.  Sebab apa? Sebab anak-anak jiran inilah yang akan mendorong dan menolak anak-anak kita untuk lebih menepati masa dan semangat belajar sebenarnya.  Yang malas pun akan menjadi rajin akhirnya.  Yang penting mereka dapat bersama-sama. 

Selepas kelas tips dari saya berilah ganjaran seperti beri mereka makan makanan yanga ada contohnya biskut dan seumpamanya sebagai kudap-kudapan petang atau malam. Insyaallah bila mereka ada pasukan belajar, pembelajaran akan lebih efektif kerana ia lebih interaktif.  Sekian dahulu untuk kali ini.  Jumpa lagi.


COP GURU


61/100
Teks: Niyda
Foto: Google


Bercerita tentang “teacher stamp” ini saya teringat zaman anak saya Si Wani bersekolah di sekolah pra dahulu.  Cikgunya selalu gunakan teacher stamp ini apabila menanda buku aktivitinya.  Apalagi seronoklah Si Wani ni bila dapat cop yang bertanda seperti bagus, usaha lagi,tahniah dan sebagainya.  Kadang-kadang cikgu bagi tanda 3 bintang atau 4 bintang kalau apa yang Wani buat tu bagus.  Kreatif sungguh cikgu Wani ni.

Ha nampak tak kat situ.  Salah satu cara bagaimana nak bagi pelajar-pelajar ni rajin dan seronok belajar dengan ganjaran yang mereka akan dapat.  Mengajar di abad ini memerlukan kreativiti guru.  Guru yang bagus ialah guru yang ifektif dan memberi kesan kepada anak murid mereka.  Mengajar dari hati maka yang akan sampai pun akan terus ke hati.  Betul tak?

Masalah yang berlaku sekarang ni ialah kebanyakkan guru tidak tahu teknik merangsang pelajar.  Begitu juga dengan ibubapa di rumah.  Sebagai ibu di rumah tidak semua perkara kita tahu.  Namun kita ada peluang untuk membantu anak-anak di rumah semampu daya kita mengikut kemampuan masing-masing.  Salah satu cara bagaimana merangsang anak-anak ialah dengan mengunakan alat teacher stamp ini di rumah.

Perasan tak ada dikalangan ibu-ibu yang membelikan buku latihan khas untuk anak-anak di rumah.  Ianya diasingkan dengan buku latihan sekolah.  Saya sendiri membelikan 4 set buku untuk anak-anak bagi subjek utama sekolah sebab biasanya anak-anak akan tegur saya kenapa ummi tanda pakai pen merah di buku latihan sekolah mereka.  Nanti cikgu marah dia katanya.  Sejak itu saya mengambil alternatif membeli buku latihan yang berasingan supaya saya ada kuasa veto untuk menanda betul atau salah buku latihan anak-anak. Maka sejak juga  anak-anak saya tak merungut lagi.

Berkenaan dengan harganya pula tidaklah mahal mana.  Dengan RM 11.00 sahaja ibu-ibu boleh dapatkan di kedai-kedai buku.  Boleh dapatkan juga dalam pelbagai warna.  Anak-anak di rumah pasti suka dan teruja.



PAPAN PUTIH A4

60/100
Teks:Niyda
Foto:  Google



Papan putih tajuk hari ini.  Zaman dulu-dulu dipanggil papan hitam ada.  Papan hijau pun ada.  Papan hitam yang bersaiz besar di sekolah.  Hanya boleh digunakan oleh guru-guru sahaja.  Menulis menggunakan kapur putih.  Apabila hendak dipadam maka berdebulah. Habis satu kelas dek penangan kapur tulis tadi.  Sekarang pun masih ada penggunaannya di sekolah.  Namun di peringkat menengah saya rasa penggunaan papan hitam atau hijau ini sudah hampir tiada.

Zaman berlalu begitu cepat.  Pasaran peralatan alat bantuan mengajar untuk pelajar-pelajar semakin canggih.  Dengan mudahnya ibu-ibu boleh dapatkan peralatan sebegini.  Lihat sahaja di laman web jualan seperti Lazada.  Banyak yang tersedia.  Pilih dan dan sediakan sahaja wangnya.

Permintaan untuk menggunakan papan putih beserta marker saya terima dari anak saya Wani.  Sejak kelas bulan Januari  2017 lagi kedengaran permintaan untuk papan putih ini disebut-sebut berulangkali.  Awal tahun banyak perkara yang perlu dibeli baru.  Jadi kami set papan putih ini beli lambat-lambat pun tak apa.  Tapi macam cacing kepanasan juga Si Wani menunggu untuk dapatkan papan putih ini dari saya. Apabila sudah begitu, akhirnya saya belikan juga papan putih ini.

Mulanya saya tanya juga anak saya mengapa perlukan papan putih ini di sekolah.  Lalu anak saya jawab sebab cikgu yang suruh untuk penggunaan subjek matematik di dalam kelas.  Oh! Begitu rupanya.  Baru saya faham.  Dari situ saya mula melihat.  Bagus juga penggunaan papan putih bersaiz A4 ini.  Banyak kelebihannya.  Antara yang dapat saya senaraikan di sini ialah:

Pelajar akan dapat membuat latih tubi tanpa menggunakan kertas yang banyak.  Maka jimat kertas di situ.
Pelajar akan dapat bersaing dengan pelajar yang lain siapa yang dapat menyiapkan jawapan terlebih dahulu lalu mengangkat jawapan kepada guru di depan.  Di sini natijahnya rasa yakin diri akan wujud dalam diri murid-murid.
Kaedah ini akan membuatkan pelajar akan berasa lebih seronok dan teruja untuk belajar.

Untuk penggunaan di rumah pula saya lihat ia sangat bagus untuk latih tubi matematik bab tambah, tolak,darab dan bahagi dalam bentuk lazim.  Kebiasaannya begitulah.  Tak cukup kertas nak buat latih tubi.  Sudahnya kena tunggu masa nak ke kedai untuk beli buku kotak atau kertas kosong. Ha bila bercakap bab kertas ni keluar pula idea nak cerita tentang kertas warna.  Satu keperluan anak-anak juga ni.  Nanti ada masa lapang saya kongsikan pula bab kertas warna ini.

Sekian sahaja untuk bab white board.  Nanti kita borak-borak lagi.  Saya mahu ke pusat Internet sekejap.  Mahu kemaskini entry terbaru.  Kak Mas dah tegur saya label belum dimasukkan lagi dalam blog.  Jadi kenalah dengar cakap sifu kalau inginkan yang terbaik untuk diri.  Salam sayang dari saya. 
Bersama rapatkan saf demi ummah.


BUKU SIFIR UNTUK SI CILIK

59/100
Teks:Niyda
Foto:  Google



Memandangkan bab sifir ini selalu menjadi perbualan ibu-ibu hari ini.  Maka saya keluarkan tajuk ini untuk hari ini.  Memang menjadi tekanan sebagai guru tuisyen matematik apabila murid-murid tidak menguasai sifir.  Walaupun pelajar baru darjah 2,3 dan 4 namun tekanan itu sangat saya rasai. 
Bila menyemak kembali silibus sekolah untuk tahun ini, ibu-ibu harus tahu ye sukatan pelajaran bab sifir ini sudah ada untuk darjah 2. 

Menguasai sifir itu juga suatu seni.  Seni yang harus dijaga antaranya ialah harus tahu hukum nombor ganjil dan nombor genap.  Jika nombor tersebut nombor genap contohnya nombor 2 maka hasil sifir yang terhasil pastilah nombor genap sahaja.  Tidak akan keluar nombor yang ganjil.  Bab yang itu murid-murid kena jelas secara asasnya.  Namun untuk nombor ganjil akan ada juga hasil darabnya nombor genap.  Itu normal dan pelajar harus berhati-hati.  Contonhnya nombor 3 darab 10 maka hasil darabnya adalah nombor 30 iaitu nombor genap.

Untuk memahirkan pelajar-pelajar ini saya sarankan ibu-ibu harus bermula seusia 3 tahun lagi.  Rekod di sekolah anak saya iaitu pelajar UPSR  yang mendapat 6A menunjukkan sejarah bahawa beliau telah menghafal sifir seawal 3 tahun lagi.  Bayangkan tuan puan tahap IQ yang beliau perolehi.  Saya tidak memaksa ibu-ibu diluar sana namun jika mahukan keputusan yang cemerlang maka harus bermula sekarang.  Jangan tunggu esok dan esok.  Kerja bertangguh tak akan menjadi orang kata.  Itu orang kata ya.  Bukan saya kata.

Bagi mendapatkan buku sifir yang comel-comel mudah sahaja.  Pergi sahaja ke kedai buku yang berdekatan.  Harganya pun tak mahal.  Mampu milik orang kata.  Dalam RM 1.50 pun dah dapat buku ini.  Versi nota poket.  Maka mudahlah anak-anak membawanya ke mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Suka saya nak ceritakan pada kalian di sana memandangkan saya dalam proses projek rintis kelas sifir cara lama iaitu kaedah hafalan, kini Shafini pelajar saya yang berusia 7 tahun sudahpun masuk ke hafalan sifir 6.  Saya target sekurang-kurangnya beliau tamat sebelum penghujung tahun ini.  Apa yang menariknya ibu Shafini nak cuba rangsangkan beliau supaya cepat habis hafal sifir dengan cara memberi ganjaran dengan kelas Tea Kwan Do pula.  Saya harap menjadilah perancangan ibu Shafini  itu nanti.

Dalam pada itu apa yang saya buat dengan Shafini ialah setiap minggu iaitu pada petang hari sabtu beliau akan datang ke rumah saya untuk saya check sampai tahap sifir berapa sudah beliau menguasai sifir.  Kemudian saya akan tandakan dibahagaian atas halaman buku sifir beliau supaya mudah saya mengingat berapa lamakah masa yang telah diambil beliau untuk menghafal satu-satu sifir.  Kerja keras bersama ibu di rumah amat penting.  Di sinilah latih tubi bermula.  Dalam kereta, semasa nak tidur masa-masa senggang digunakan sebaiknya.  Bagus juga cara ibu Shafini tu.  Nak tunggu masa yang ideal memang tak dapatlah sebab jadual Shafini penuh.

Baiklah saya harap untuk entry kali ini ibu-ibu di luar sana mendapat sedikit ilham bagaimana nak rangsang anak-anak dalam bab penguasaan sifir ini.  Ini baru bab hafalan iaitu asas.  Belum masuk lagi bahagian penulisan soalan dalam bentuk lazim, soalan berbentuk ayat dan cerita dan seterusnya soalan KBHAT.  Banyak lagi langkah-langkah seterusnya.  Saya doakan kalian berjaya.  Amin.


Monday, 18 September 2017

KOTAK PENSIL BERSIFIR

57/100
Teks:  Niyda
Foto: Google

Tadi saya cuba memasukkan benang ke dalam lubang jarum untuk menjahit seluar suami.  Allahuakbar.  Mula rasa diri sudah tua.  Hampir tak nampak sudah lubang jarum yang dahulunya begitu senang untuk saya lakukan.

Begitulah putaran kehidupan.  Sehingga di suatu masa akan tibanya masa kita dijemput Ilahi.  Begitu jugalah halnya dengan tajuk utama untuk petang ini iaitu kotak pensil.  Pelbagai rekaan kotak pensil hadir dipasaran masa kini.  Pilih sahaja yang mana anak anda suka.  Mudah sahaja kalau cari web di Lazada juga.  

Namun awas kotak pensil terbaru yang ada di pasaran sekarang ini mempunyai panduan sifir sama ada di dalamnya atau mempunyai kalkulator di atasnya.  Ada beberapa kelemahan yang  nampak di situ.  Antaranya ialah:

  1. Pelajar akan malas untuk menghafal sifir
  2. Ditakuti waktu peperiksaan berlaku kes peniruan dari kotak pensil.
  3. Pelajar hanya bergantung kepada sifir yang berada di kotak pensil.
Pengalaman mengajar anak-anak murid tahap 1 banyak memberi kesedaran kepada saya.  Kebanyakkan pelajar masa kini dibenarkan untuk melihat buku sifir ketika membuat latihan di dalam kelas di sekolah.  Apabila ini berlaku, kemenjadian murid dalam bab sifir sangat sukar.  Silibus di sekolah pada saat saya menulis ini menunjukkan darjah 2 sudah ada bab sifir. Sifir mengambil masa yang agak lama untuk dikuasai.  Cara dan teknik baru mungkin ada seperti teknik Roya dan Adimatik.  Cuma bagaimana anak-anak dapat mempraktikkan dan menguasainya dalam pembelajaran atau tidak.

Saya masih dengan cara lama.  Saya yakin walaupun teknik lama tetapi jika diusahakan dari peringkat awal kanak-kanak,  insyaallah mereka akan dapat menguasai sifir dengan jayanya.  Maka masalah anak-anak Melayu kurang cemerlang dalam subjek matematik akan dapat dikurangkan.

Kini saya juga dalam projek rintis dengan cara lama berapa lama masakah yang diambil oleh seorang pelajar untuk menghafal sifir?  Insyaallah apabila siap projek rintis saya ini, saya akan kongsikan di dalam blog ini.  Nantikan pengumumannya ya!

Baiklah cukup setakat ini sahaja dahulu buat kali ini.  Untuk ibu-ibu diluar sana pastikan anda mencuba untuk hafal sifir bagi anak-anak sekalian.  Jangan lupa hafal sifir seawal umur tiga tahun.  Usaha kalian sangat dihargai.  Sebagai guru kami perlukan sokongan yang padu dari ibubapa dari rumah.  Tanpa bantuan ibubapa mana mungkin kecemerlangan anak-anak dapat diperolehi.  Sekian sahaja untuk kali ini.  Sehingga berjumpa lagi dilain entry.  Sekian.



Friday, 25 August 2017

BILAH KAYU KECIL BEWARNA

Entry 46/100
Teks:Niyda
Foto:Google

Mungkin kalian sedikit  pelik dengan tajuk entry kali ini.Sabar dulu ya. Ha..mari kita imbas semula zaman kanank-kanak dulu.  

Masih ingat lagi tak kalian dengan batang mancis dan batang aiskrim zaman kecil dulu.  Selalu kita buat main umpil-umpilkan.  Batangnya halus dan dihujungnya ada bulat-bulat kecil.  Apabila digosokkan di tepi kotak mancis, maka akan terbakarlah batang mancis itu.  Dulu-dulu arwah Tok Ayah selalu guna batang mancis ini bila nak hisap rokok daun.( Jangan tiru tau).  Orang-orang tua biasalahkan.  Alfatihah sekejap untuk arwah Tok Ayah.

Apa kaitannya dengan entry kali ini? Ha..Jangan tak tahu ye di kedai buku pun ada jual batang mancis dan batang aiskrim ini.  Ye ke? Iye tak sungguh saya tak kata.  Tapi ada tapinya.  Kalau pergi ke kedai buku dia akan tulis pine wood stick.  Batang mancis ini ada didatangkan dalam warna warni.  Sementara bahan bakarnya yang bulat-bulat itu tak adalah ye.  Hanya batang kayu sahaja.  Saiznya sama macam saiz batang mancis tu.  Bezanya cuma dia bewarna sahaja.

Begitu juga dengan batang aiskrim.  Di pasaran sekarang ni sudah ada dijual batang aiskrim yang bewarna warni.  Batang aiskrim yang tidak bewarna pun ada juga dijual.




Apa faedahnya pine wood stick ini?  Tahun lepas saya pernah guna pine wood stick ini.  Ada seorang pelajar saya di Chenua.  Helmi namanya.  Dia sangat lemah dalam matematik.  Kategori pelajar slow learner saya boleh katakan.  Bila saya ajar topik tambah dan tolak.  Dia sukar nak faham.  Guna jari pun susah.  Akhirnya saya dapat satu idea.  Saya gunakan pine wood stick ini dalam sessi latihan menjawab soalan.  Alhamdulillah, keputusan peperiksaan akhir tahun lepas sangat mengejutkan saya.  Helmi skor A dalam subjek matematik.  Ibunya pun sangat teruja dengan pencapaian prestasi dia.  

Tahun ini saya tak dapat teruskan kelas bersamanya lagi  berikutan komitmen kelas di rumah saya sendiri hampir penuh.  Saya sentiasa mendoakan Helmi semoga terus terang hati dalam pelajarannya.  Insyaallah.  Asal ada kemahuan dan rajin usaha dengan membuat latih tubi.  Kejayaan pasti datang.

HIGHLIGHTER UNTUK KAKAK


Entry 45/100
Teks: Niyda
Foto:  Google

Dua hari yang lepas kakak Widaad datang kepada saya.  Kakak  minta dibelikan pen highlighter untuknya.  Dalam hati saya berkata, buat apalah kakak dengan pen sebegini.  Jauh lagi masanya nak guna pen ini. 

Lalu semalam, ssaya ke bandar Raub sekali lagi.  Rutin mingguan.  Mencari buku untuk anak didik.  Saya cari pen yang diminta oleh kakak.  Ya Allah, mahalnya ampun.  Harga dah naik ye sekarang ni.  Sudah lama tak mengikuti harganya.  Untuk pen highlighter jenama Stabilo RM 3.70.  Dua kali ganda dengan harga pada zaman saya belajar dulu.  Saya ambil satu.  Pada hemat saya, pasti ada yang nak dibuat oleh kakak dalam kelas nanti.


Pen highlighter ni boleh dicari dengan mudah di kedai-kedai buku.  Bermacam-macam warna.  Ada warna pink, hijau,kuning,biru dan sebagainya.  Warnanya yang menyerlah berfungsi untuk menggaris dan menyerlahkan isi-isi penting dalam satu-satu nota.  Kalau dulu, saya suka bila jumpa elemen penting dalam buku saya garis supaya apabila saya baca semula nanti nota tersebut, saya ingat bahawa saya pernah baca dibahagian tersebut.

 Biasanya selepas membaca buku-buku yang tebal, saya akan ambil kertas A4 kosong dan saya  akan buat nota menggunakan teknik peta minda.  Di situlah peranan pen highlighter ini iaitu untuk memberi kesegaran kepada nota tersebut.  Ingat ya otak sukakan warna.  Oleh itu jadikan peta minda anda bervariasi dengan gambar,nota dan warna yang menarik.  Fungsi nota ini juga boleh meningkatkan tahap ingatan anak-anak.  Apa yang lebih bagusnya?  Apabila peperiksaan datang dalam sehari atau dua, anak-anak tak perlu tengok buku yang tebal-tebal lagi.  Hanya buka dan belek nota kecil yang dibuat sendiri ini.  Ianya lebih berkesan.  Inilah yang saya selalu praktiskan semasa zaman belajar dahulu.  Insyaallah saya akan perturunkan semula kepada anak-anak saya.  Sudah sampai masanya bukan? Saya fikir lambat lagi saya nak curahkan ilmu yang sedikit ini.  Tapi saya sudah nampak sekarang.  Ada keperluan disitu.

Apabila disemak buku-buku untuk anak-anak darjah 4 sekarang ini.  Saya fikir memang betul pun.  Perlu ada kemahiran mengingat dengan menggunakan pen highlighter ini.  Contohnya bab mengingat nama-nama planet.  Bukankah itu suatu yang merumitkan.  Ada banyak planet.  Perlu dihafal pula mengikut urutan yang betul.  Penggunaan Kod nemonik dalam mengingat nama-nama planet ini sudah pasti ada keperluan.  Catatan akan datang saya akan terangkan secara jelas bagaimana nak menghafal nama-nama planet dengan menggunakan kod nemonik ni.  Kalau anda perasan, saya ada menjelaskannya di dalam catatan sebelum ini.  Hehehe.

Baiklah cukup setakat ini sahaja dahulu buat kali ini. 

Opss sebelum terlupa, bermula hari ini sewaktu catatan ini ditulis, saya ada membuat peraduan Merdekaku!  Senang sahaja.  Ibu-ibu sahaja yang layak untuk memasuki peraduan ini.  Like dan share posting saya  berkenaan promo peraduan ini di fb Niyda Benta.  Kemudian nyatakan diruangan komen apa yang bagusnya blog saya ini dan apa yang boleh saya perbaiki untuk masa akan datang.  Hanya mereka yang membuat komen sahaja yang layak untuk tersenarai dalam senarai cabutan bertuah.  Tarikh tutup peraduan ialah pada 31 hb Ogos jam 11.00 malam.  Pemenang yang bertuah akan saya umumkan di wall fb saya pada 5hb Sepetember 2017.  Sekian sahaja untuk kali ini.  Selamat mencuba!


Tuesday, 22 August 2017

SERONOK BELAJAR DENGAN BUKU NOTA KECIL



Entry:43

Teks: Niyda
Foto: Google

Seronok belajar dengan buku nota catatan kecil.  Menjadi kegemaran saya buku catatan kecil ini sejak dari zaman sekolah rendah lagi.  Kini saya perturunkan semula kegilaan dengan buku kecil ini kepada anak-anak saya pula.

Zaman dahulu kami panggil buku lima-lima.  Buku ini saya guna apabila ada sesuatu pesanan dari guru contohnya ketika di perhimpunan sekolah atau  di dalam kelas.  Kadang-kadang tak muat, saya beli buku saiz tebal.  Saya balut buku itu dengan kertas warna atau lembaran kertas bergambar supaya ianya menarik dan menjadi sesuatu yang perlu saya tatap setiap hari.

Zaman sekolah menengah buku inilah yang menjadi pendamping paling rapat dengan saya.  Kemana pergi pun pasti saya akan bawa.  Hatta hinggalah apabila mahu pulang ke kampung.  Saya bawa juga.  Senang.  Apa-apa catatan contohnya tentang waktu ketibaan bas pun saya catat.

Kini zaman sudah berubah.  Semuanya hampir total menggunakan nota yang ada di dalam telepon android atau smartphone.  Segala isi penting atau panduan penting mudah sahaja saya salin dan masuk ke dalam telefon canggih.  Cuma akan berlaku masalah apabila telefon rosak.  Mulalah sakit kepala, keruan dan sebagainya.  (Sayalah tu).

Saya fikir buku nota kecil ini masih relevan untuk zaman ini hatta untuk penggunaan orang dewasa.  Buku nota zaman ini penuh warna warni, punyai gambar-gambar yang menarik.  Maka sudah semestinya anak-anak suka.  Rangsang mereka dengan buku-buku sebegini.  Insyaallah minat belajar akan tumbuh dalam sanubari mereka.

Untuk mendapatkan buku-buku yang comel ini tidaklah susah sebenarnya.  Kalau di Kuala Lipis, pergi sahaja ke MR. D.I.Y.  Banyak pilihan di sana.  Hargapun mampu milik.  Bertambah geram kalau tengok buku kecil yang comel-comel seperti gambar kartun kek dan sebagainya.  Anak-anak saya akan teruja bila sebut sahaja mahu ke Mr. D.I.Y.  Maka tahulah saya itulah lubuk untuk saya tarik minat mereka belajar.

Selain dari itu, jika di Raub pula, kalian boleh cari di kedai Pustaka Pertama bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional.  Di situ juga ada pelbagai pilihan buku-buku nota kecil yang comel-comel.  Bolehlah beri kepada anak-anak sebagai hadiah.  Mesti mereka suka.  Cubalah!


Thursday, 17 August 2017

SERONOK BELAJAR DENGAN LUNA DAN BUNCHO


Teks:Niyda
Foto: Google

Masihkah kalian ingat pensil warna yang kalian guna zaman kecil-kecil dahulu.  Pensil warna jenama Luna memang tak boleh lawankan.  Itu dulu.  Harganya tak sampai RM 5 kan.  Tapi sekarang cuba semak di kedai-kedai buku.  Macam nak pengsan dah rasanya.

Begitu juga warna air.  Kalau dulu-dulu pakai sekejap ajer dah mengeras.  Ye lah kan hanya mampu beli yang ketot-ketot aje.  Arwah abah pesan jimat-jimat.  Jadi warna air ni jarang-jarang saya guna.
Bila masa guna pensil warna Luna ni?  Ha kalau korang nak tahu waktu zaman sekolah rendah dulu, saya dan kawan-kawan suka berlumba-lumba mewarna dalam buku bahasa Melayu.  Hampir setiap helaian buku tu saya akan warnakan.  Jadi seronok nak belajar bila tengok buku sendiri penuh warna warni.  Bila dah siap, saya akan pergi pusing meja kawan=kawan yang lain.  Diorang ni dah siap ke belum.  Itu masa guru taka da dalam kelas lah.  Lepas tu kami akan membanding-bandingkan antara satu sama lain.  Siapa yang paling cantik mewarna.

Untuk yang terkini sekarang saya tengok jenama A Star pun cantik-cantik juga warna dia.  Jenama Faber Castell pun okey.Kalian semua boleh cuba sendiri.


Dalam pada itu juga untuk pensil air saya cadangan beli jenama Buncho.  Mutu warnanya sangat baik.  Tapi harga agak mahal sikit berbanding dengan warna air yang lain.  Kalau tak silap saya RM 30 jugak lah harganya tu.  Kalau ikut berkira-kira memang tak akan beli saya ni.  Tapi bila tengok kawan-kawan anak saya yang mana dapat skor A dalam subjek pendidikan seni, saya pejam mata aje untuk seketika.
Kelebihan lain warna air Buncho ini ianya tak mudah mengeras.  Apabila mewarna, warnanya naik dan sangat terang.  Hasilnya pasti tidak mengecewakan.  Anak-anak pasti suka.  Cubalah!

SERONOK BELAJAR DENGAN PEMADAM COMEL


Teks: Niyda
Foto: 

Pemadam comel.  Pemadam era zaman kini.  Pelbagai bentuk dan rupa.  Menjadi kesukaan anak-anak saya bila dapat mengumpulkan pemadam yang comel-comel sebegini.  Mula-mula tu tak perasan juga.  Tapi bila Wani selalu bawa balik ke rumah.  Saya jadi pelik.  Apalah yang menarik sangat dengan pemadam ni.  Rupa-rupanya dengan sebab rupa pemadam tu yang comel tu menjadi suatu benda wajib yang perlu ada dalam kotak pensil.

Ya! Cuba kalian semak dalam kotak pensil anak-anak kalian.  Macam mana rupa pemadam mereka.  Zaman saya masih kecil.  Tiada istilah pemadam comel.  Yang ada hanyalah pemadam berwarna  putih seketul.  Tak menarik pun.  Kepala berwarna bawahnya putih. Ingat lagi tak kalian.

Sekarang zaman dah maju.  Industri perniagaan alat-alat sekolah semakin maju.  Mereka semakin kreatif mereka alat-alat yang dapat merangsang minat anak-anak dalam belajar.  Kita yang ada ni pun tak perlu susah-susah lagi nak rangsang anak-anak minat belajar.  Hanya perlu tahu apa minat dan kesukaan mereka sahaja.  Perlu ada sedikit masa juga untuk jalan-jalan dan buat pemerhatian.

Kalau di Kuala Lipis ni, Mr D.I.Y lah tempatnya yang paling sesuai.  Kalau bagi tahu kat anak-anak saya nak pergi Mr.D.I.Y menjerit diorang ni terlalulah sukanya.  Sebab kat situ macam-macam ada.  Kotak-kotak yang cantik, sticker pun ada.  Saya sendiri pun boleh jadi mereng sekejap.  Sediakan duit ajer.  



Wednesday, 16 August 2017

SERONOK BELAJAR DENGAN POSTER

36/44


Teks: Niyda
Foto: Google

Seronok belajar dengan poster di rumah.  Pastinya kadang-kadang ibu rasa kurang sesuai nak tampal-tampal poster belajar atau nota anak-anak di rumah.  Ye lah rumah dah cantik di hias.  Tiba-tiba nak pasang dan tampal poster.  Pasti pelik dibuatnya.

Kat rumah, saya tampal poster di ruang makan.  Ini sebab apa, supaya senang nanti masa makan pun anak-anak boleh ingat balik apa yang mereka belajar di sekolah.  Pengalaman membesarkan Wani.  Saya dah tak kira tempat.   Tampal jugak di ruang tamu pun.  Rumah teres.  Kawasannya maklum saja lah.  Sempitkan. Segala poster saya tampal.  ABC ada.  Surah lazim pun ada.  Alif Ba Ta pun ada.  Suku kata pun ada.  Sebab tu lah Si Wani ni cepat dapat.  Umur 5 tahun pun dah boleh membaca.

Kalau di tengok dari perkembangan positifnya pun sehingga sekarang, Wani tetap dapat top 10 terbaik di dalam kelas.  Skor 11 A untuk semua subjek semasa darjah 1.  Jadi saya rasa tampal poster juga adalah satu faktor bagaimana membantu pembelajaran anak-anak di rumah.

Poster yang terkini ada macam-macam jenis.  Dari yang berbentuk ABC hinggalah yang ada bergambar sekali untuk pra sekolah.  Kalau beli buku jenama Fargoes, kalian akan dapat poster seperti Let’s Learn The Alphabets, Medial vowel sounds dan Rhyming words. Ada juga untuk verb iaitu kata kerja dalam Bahasa Inggeris.  Jadi saya kira ini memudahkan anak-anak untuk belajar.  Hari-hari tengok, insyaallah akan terus melekat dalam minda mereka.  Pasak terus orang kata. 

Dari segi harga pula kalau beli tanpa dengan sekali buku biasanya poster yang saya jumpa dalam RM 5.00 ke atas gitu.  Bergantung kepada jenis kertas dan perkara.  Tak mengapa ibu-ibu mahal sikit pun.  Ilmu tu.  Usah berkira-kira sangat.  Benda lain kita senang-senang boleh beli. Ye tak?  Pejam mata je sekejap.

Okey ni berbalik semula tentang poster Let’s Learn The Alphabets.  Poster ni yang saya ada ni menerangkan tentang huruf abjad ABC dalam huruf besar dan huruf kecil.  Juga dilengkapi dengan gambar disetiap kotak huruf tersebut.  Jadi agak senangkan anak-anak nak mengingat. Ingat gambar.  Ingat huruf.

Poster Medial vowel sounds pula ialah poster yang mendedahkan tentang bunyi mengikut huruf vkcal.  Contohnya seperti:
1.    Bag
2.    Fan
3.    Jam
4.    Pan

Semuanya mengikut bunyi vocal huruf A yang sama.

Manakala poster Rhyming words pula menekankan tentang rima perkataan seperti:
At untuk cat,bat,hat,rat.
In untuk bin,fin,pin,tin.
En untuk hen,men,ten dan pen.
An untuk fan,man,pan dan van.
Ap untuk cap,map,tap dan nap.
Un untuk bun,gun,run dan sun.

Jadi mudahlah anak-anak membiasakan diri mereka dengan rima tersebut.  Semoga dengan pendedahan ringkas ini memberi sedikit maklumat kepada kalian semua.  Sekian dahulu untuk kali ini.  Rajin-rajinlah ke kedai buku.  Banyak manfaatnya.  Salam sayang dari saya.

Teks: Niyda

01125452156

SERONOK BELAJAR DENGAN PERPUSTAKAAN MINI

Entry: 35/44

Teks: Niyda
Foto: Google

Seronoknya bukan main bila ada perpustakaan mini di rumah.  Melihat Wafirah mencapai buku demi buku Talking English dari set Grolier membuatkan saya rasa berbaloi-baloi membeli set tersebut.  Ye la kan…harga ribu riban.  Dengan abi pun saya sorok harganya tu.  Pastttt.. Saya beli pakai duit sendiri…Ansuran je RM 105 sebulan selama 2 tahun.
Idea nak dapatkan perpustakaan mini ni dah lama.  Masa Wafirah masih lagi merah kulitnya dah ada orang datang promosi kat saya.  Tapi saya tak layan.  Iya lah kan duit tak berapa nak ada.  Masih berkira-kira nak dapatkan buku ni.

Namun kedatangan seseorang ke perpustakaan Benta beberapa bulan yang lepas telah membuka kembali mata saya.  Saya mencari dah lama benda ni.  Baru sekarang berjumpa semula.  Jadi saya terus pegang kejap.  Tak nak lepas dah macam dulu.  Sampai nama set ni pun saya tak ingat dah apa namanya. 

Yang menjadikan saya sebak tu ialah kerana adik ni tunjuk bukti kat saya ada seorang kakak ni, seorang ibu tunggal, anak ramai.  Kerja biasa-biasa je.  Tapi sanggup beli untuk anak dia set Grolier ni.  Sedangkan saya masih berkira-kira.  Saya cam kakak tu.  Memang anak dia tersenarai dalam kategori pelajar cemerlang SK Benta dua tahun lepas.  Saya sendiri yang tengok dia naik pentas terima hadiah anugerah tersebut.  Malu saya kat diri sendiri.  Sebab tu saya terus ambil pakej set Grolier ni.  Jumlahnya hampir mencecah RM 3K.

Ok, tu bab harga.  Sekarang nak cerita berapa seronoknya si Wafirah sekarang ni bila dah ada set Grolier ni.  Dia dah tak tanya ummi dah.Mana buku dia.  Tarik-tarik tangan saya ajar dia menulis.  Dengan sendiri saya perasan.  Dia ambil pen boleh bercakap tu.  Kemudian ambil mana-mana buku dalam set tu.  Duduk atas sofa.  Kemudian on pen   tu, terus letak atas buku.  Bercakaplah buku tu mengikut apa yang dia sentuh.  Kadang-kadang tu saya tengok dia pun ikut nyanyi-nyanyi sekali.  Haa keyakinan tu penting ye.  Walaupun belum faham sangat Bahasa Inggeris tu.

Hari ni ketika saya menulis catatan ni.  Sekejap lagi, Wafirah akan mewakili sekolah sempena Program Pelajar Cilik di pejabat KEMAS Kuala Lipis.  Tak tahulah tu.  Menang atau kalah.  Tapi saya dah siap pesan kat dia.  Adik kena bercakap dengan suara yang kuat.  Buka mulut besar-besar.  Suara biar jelas dan yang penting sekali adik kena berani okey.  Dia kata okey ummi.  Ummi abi doakan adik berjaya nanti.  Insyaallah.  Ini pengalaman pertama Wafirah mewakili sekolah di usia 4 tahun.


Monday, 14 August 2017

SERONOK BELAJAR DENGAN KAMUS BM BM

Teks: Niyda
Foto: Google


Setelah selesai mengambil kakak Widaad dan Wani hari ini, cikgu terus memecut laju ke Raub.  Wafirah pun cikgu bawa sekali.  Hari ini masa terhad.  Balik dari Raub nanti Cikgu ada kelas tuisyen lagi sebanyak 2 sessi.  Jadi tengahhari ini cikgu pergi ke Raub sekejap.  Cikgu nak cari buku latihan pra sekolah subjek Bahasa Melayu.   Ada pelajar baru.  Jadinya perlu buku barulah.

Selesai membeli buku, cikgu pun terus ke Pizza Hut.  Anak-anak teringin lagipun dah lama tak makan Pizza Hut.  Jadi cikgu beli Pizza,bungkus dan bawa balik.  Sebab apa? Sebabnya nak makan sekali dengan suami cikgulah.  Hari ni cikgu tak masak.  Malas dan tak sempat…Hehehe.

Baik, hari ni nak cerita tentang perlunya kamus versi BM BM.  Kenapa ye? Sebab dalam silibus Bahasa Melayu dalam darjah 1 sekarang ini sudah memerlukan pelajar menjawab soalan yang berbentuk seperti itu.  Ha? Ye ke?...Iye…Silap haribulan tahun depan akan dinaikkan lagi.  Pelajar pra sekolah pun kena pandai guna kamus.  Jangan cakap cikgu tak ajar guna kamus ye? Kalian ibu-ibu super gojes kena ambil tahu tentang hal ini.  Kalau tidak anak-anak kalian akan ketinggalan.  Tolong ajar cara guna kamus.  Kalau tak pandai tanya saya ni… Tanya saya…wassup pun boleh ye.

Di sini saya cadangkan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka kerana ianya lebih menyeluruh berbanding kamus Oxford.  Tebal pun lebih tebal dan harganya pun boleh tahan.  Namun kalau kalian budget-budget boleh guna juga kamus komprehensif Oxford.  Harganya RM 29.95 setebal 857 muka surat.  


Selain dari itu diakhir-akhir muka suratnya terdapat juga istilah sains,istilah matematik,organ deria,peralatan makmal dan bentuk-bentuk dalam matematik. Oh ye, untuk lebih mudah,kalian ibu-ibu boleh juga download aplikasi kamus online di telefon canggih korang.  Senang sahaja.  Pergi ke gedung play dan cari kamus online.  Boleh pilih nak versi apa.  Untuk versi Bahasa Melayu kepada Bahasa Melayu ada banyak jenis.  Pilih yang percuma tu.

Semoga dengan perkongsian kecil akan dapat membantu tuan-tuan dan puan-puan dalam meningkatkan lagi kemahiran anak tuan-tuan dan puan-puan dalam subjek Bahasa Melayu.  Bahasa Melayu Bahasa yang indah.  Bahasa Melayu melambangkan identiti kita. Bahasa kita melambangkan wajah kita.  Martabatkan Bahasa Melayu kerana ramai orang di luar sana yang teringin nak belajar Bahasa Melayu.  Anda yang sudah pandai bercakap dalam Bahasa Melayu ini sudah boleh mengajar apa?  Sesiapa yang berminat hubungi saya ya untuk lantikkan agen guru tuisyen Bahasa Melayu di tempat anda.  Komisyen menarik menanti!


Tuisyen Bahasa Melayu Pra Sekolah!

Teks: Niyda

Thursday, 10 August 2017

BELAJAR BERHIBUR BERSAMA FUN THINKER


Teks: Niyda
Foto: Koleksi peribadi

Air panas baru dijerang di atas dapur.  Haba panasnya menusuk ke dalam hidung.  Saya bergegas menutup api dapur gas.  Mandi air suam untuk pagi ini.  Tiada alat pemanas air di rumah.  Jadi pakai apa sahaja yang ada.  Janji boleh survive hidup ni.  Kesegaran badan itu yang penting. 

Hari ini cuaca baik. Sesungguhnya Allah S.W.T itu berada dalam sangkaan hambanya.  Jika benar kamu bersangka baik.  Maka baiklah jadinya.  Namun kira sebaliknya.  Maka itulah juga yang kamu dapat capai.

Baiklah berbalik kepada tajuk dia atas ini iaitu belajar sambil berhibur.  Sebenarnya sudah lama saya mencari produk atau barang yang dapat membantu murid-murid saya di dalam kelas.  Oleh kerana semasa rehat,pelajar saya biasanya saya akan lepaskan untuk makan,minum dan bermain sesama mereka.  Ada yang suka main kejar-kejar dalam kelas.  Ada juga suka yang main lari-lari diluar kelas.  Kadang-kadang tu risau juga takut mereka ni terjatuh atau sebagainya.

Alhamdulillah, suatu hari saya dipertemukan dengan seorang lelaki India di dalam Perpustakaan Benta.  Dia datang sebagai promoter jualan langsung.  Biasanya saya tak layan.  Tapi kali ini saya kata dalam hati, tunggu dan dengar dulu penjelasannya tentang produk Grolier.  Setelah hampir 45 minit dia menerangkan kepada saya.  Saya yakin dengan produk beliau.  Akhirnya saya pun bersetuju untuk mendapatkan buku-buku dan produk mainan yang ada dalam set Grolier.

Salah satu dari senarai item yang saya ambil ialah set Fun Thinker. Secara amnya set ini dibahagikan kepada beberapa fungsi.  Antaranya ialah Kemahiran Bahasa Inggeris,Kemahiran matematik dan kemahiran dalam berfikir.  Setiap subjek mempunyai 3 level di mana ianya membantu secara sistematik.  Secara asasnya ia membantu para pelajar pra sekolah untuk belajar dengan cara lebih menarik dan praktikal di samping membantu dalam kemahiran fokus kepada sesuatu benda,menyemai sifat kemandirian dan tidak bergantung kepada orang lain.

Berikut adalah paparan buku Fun Thinker.




















Pembayaran Kelas Membaca Bahasa Melayu Online One To One  https://niydztotstrainingconsultancy.onpay.my/order/form/2 Pembayaran Kelas Membac...