Sunday, 1 October 2017

TIDUR AWAL

75/100
Teks:Niyda
Foto:

Menonton rancangan hiburan memang amat mengasyikkan.  Kita sendiri pun akan turut terleka kadangkalanya.  Pada masa kini banyak rancangan-rancangan yang menarik di Astro.  Itu memang tidak dinafikan.  Menjadi kegilaan lagi apabila artis yang diminati berada dalam rancangan tv tersebut pada masa itu.  Terus melekat depan tv.  Dah sama naik ibu dan anak-anak.  Kadang-kadang anak yang siap-siap ingatkan pukul berapa, hari apa dan tajuk rancangan kegemaran ibu tersebut.  Hai lah anak.  Ibu pun turut teruja.

Begitulah penangan hebat rancangan TV.  Kalau ikutkan memang tak akan habis.  Terus bersambung lepas satu-satu.  Perkara paling penting menjelang peperiksaan, ibubapa perlu tekankan ialah pastikan anak-anak tidur awal pada malam sebelum peperiksaan.  Jangan biarkan anak-anak anda leka dengan rancangan-rancangan yang dipertontonkan di televisyen.  Kalau boleh elakkan melihat TV.  Ibubapa pun perlu turut sama berdisiplin.  Konsep pengajaran melalui teladan amat diperlukan.  Kebanyakkan bab ini ibubapa kalah.  Maaf cakap, ia berlaku kepada ramai ibubapa. 

TIDUR JAM 10.00 MALAM

Pastikan anak-anak tidur seawal jam 10.00 malam.  Ini akan dapat menguatkan daya ingatan mereka apabila mereka bangun pagi pada esok hari.  Dengan teknik belajar menggunakan nota ringkas , semasa pelajar tidur, sebenarnya otak memproses semula maklumat yang disimpan. Teknik ini mampu membuatkan pelajar mengingati sesuatu topik dengan lebih berkesan.

PASANG JAM LOCENG

 Pasang jam loceng di telefon bimbit.  Sekurang-kurangnya dua jam  loceng.  Pasang di tempat yang berasingan supaya anak-anak mampu bangun dengan sendirinya.  Jika tidak, ibubapalah yang perlu kejutkan.  Maka ibu-ibu juga perlu tidur awalah agar tidak terbabas di esok hari.

ELAKKAN BERWASSUP DAN BERFACEBOOK

Tidur awal juga akan memberikan ruang waktu kepada anak-anak untuk bangun awal dan lebih bersedia ke sekolah pada esok hari.  Tidur lambat akan menyebabkan anak-anak  kelam kabut pada esok hari.  Di sini ibubapa perlu main peranan.  Elakkan berwassup, berwechat atau berfacebook di malam hari.  Elakkan juga membuang  masa menerokai cerita-cerita kisah alam maya pada malam tersebut.  Kegagalan ibubapa dalam berdisplin akan ahal ini akan menyebabkan kegagalan anak-anak untuk bangun pada esok hari. 

TEKAD HADAPI TEKANAN MEDIA SOSIAL

Cabaran hari ini sungguh luar biasa.  Kita dihidangkan pelbagai perkara-perkara yang melalaikan dalam keadaan hampir tidak sedar.  Telefon bimbit seolah-olah sudah melekat kemas di jari ibu ayah.  Hampir sepanjang masa berada di rumah ibu ayah yang berbisnes internet contohnya, tak lekang dengan telefon tablet.  Ambil masa anda.  Ambil masa untuk bersama-sama anak pada minggu-minggu terakhir menghadapi peperiksaan.  Sokongan kuat dan padu amat diperlukan oleh anak-anak.  Cukup berada disebelah menemankan anak-anak membuat latihan itupun sudah mencukupi bagi mereka.

ULANGKAJI PADA WAKTU PAGI YANG TENANG

Tidur awal juga membolehkan anak-anak bangun pagi seawal mungkin.  Selepas mandi dan bersiap, badan akan terasa segar.  ambil peluang di pagi hari untuk mengingati semula apa yang dipelajari.  Buka nota ringkas dan buat ulangan.  Sambil-sambil menunggu ibu buat air dan sarapan pagi, duduk di meja makan, ambil nota tersebut dan lihat.  Anak-anak akan terasa lebih tenang dan fokus. 
Rumusannya di sinilah pentingnya tidur awal.  Banyak sisi faedah yang akan dapat diperolehi.  Ambillah peluang juga untuk bangun malam bagi ibu-ibu untuk berdoa.  Semoga Allah memberi ketenangan hati dan dipermudahkan anak-anak kita dalam menghadapi peperiksaan yang bakal dijalankan.  Percaya Allah S.W.T sentiasa ada untuk hambanya yang sering meminta.  Jangan sombong dengan Allah S.W.T.  Insyaallah ada jalan untuk orang yang berusaha dan bertawakkal.




TUMPUKAN PERHATIAN KEPADA GURU DALAM KELAS

73/100

TV Alhijrah memang menjadi kegemaran saya.  Dah lama juga pagi-pagi hari tak buka dan dengar TV Alhijrah.  Pagi ini berpeluang mendengar kisah bab aurat. Peringatan di pagi hari.  Insyaallah jika kita mahu yang baik maka yang akan datang juga perkara yang baik-baik.  Tak gitu.  Alhijrah tetap sentiasa dihatiku.

Bercerita tentang bab penumpuan dalam kelas sering kali para pelajar ini hilang fokus.  Biasanya bila kawan-kawan sebelah di dalam kelas ajak berbual,mulalah yang  sorang lagi mengikut.  Tengah buat kerja sekolah pun begitu.  Ini penyakit yang serius bagi saya.  Pantang bagi cikgu tengok anak murid berbual dalam kelas.  Fokus ye adik-adik.  Habiskan kerja kamu dulu.  Baru boleh nak borak-borak.

TUMPU KEPADA GURU DI HADAPAN

Semasa berada di dalam kelas perkara lain yang amat penting ialah memberi penumpuan kepada apa yang diajarkan oleh guru.  Pelajar yang memberi penumpuan di dalam kelas akan dapat mengingat pelajaran tersebut dengan lebih lama.  Lihat wajah guru anda.  Lihat apa yang ditulis di papan putih.  Fokus apa ingin disampaikan.  Bertanyalah jika tidak faham.  Usah malu untuk bertanya atau pendam niat untuk bertanya.  Dengan bertanya pelajar akan dapat memahami dengan lebih jelas tentang sesuatu topik.  Sikap malu akhirnya akan merugikan para pelajar.

AMBIL NOTA

Ambil nota ringkas dengan cepat dan berkesan.  Salin dengan cantik dan kemas.  Biasanya apabila tiba dua atau seminggu sebelum peperiksaan, guru akan memberi tips tajuk apa yang bakal keluar.  Jadi amalkan supaya dalam tempoh tersebut anak anda hadir ke sekolah tanpa gagal.  Suatu kerugian yang amat besar jika mereka tidak hadir.  Ini strategi penting bagaimana anak-anak dapat menggambarkan bentuk-bentuk soalan yang bakal keluar nanti.

HADIR SECARA FIZIKAL, MENTAL DAN EMOSI

Dalam pada itu juga kadang-kadang berlaku keadaan di mana para pelajar tidak memahami teks karangan  atau soalan yang di dalam kertas soalan latih tubi yang diberi oleh guru.  Sebenarnya membaca dengan laju tidak penting.  Yang penting anak-anak harus membaca satu-satu dengan sederhana sambil memahami teks karangan atau soalan.  Ini biasanya berlaku dalam subjek Bahasa Melayu ataupun bab penyelesaian soalan matematik berbentuk KBAT.

Tips yang paling penting ialah ajar anak-anak mendalami soalan tersebut.  Cari kata kunci utama soalan dan penceritaan dalam karangan.  Hadir secara mental ,fizikal dan emosi dalam penceritaan tersebut.  Apabila teknik menggambarkan ini di praktiskan, maka insyaallah dengan mudahnya anak-anak dapat memahami susbjek yang dipelajari.

Akhir sekali cuba buat kesimpulan tentang sesuatu yang dipelajari di dalam kelas dan cuba aplikasikan dengan kehidupan seharian.  Insyaallah anak-anak akan mudah faham.  Kebanyakkan soalan yang berbentuk KBAT memerlukan para pelajar mengaplikasikan asas yang dipelajari di sekolah dengan kehidupan seharian di rumah.  Kegagalan pelajar untuk berfikir dengan kritis akan menyebabkan mereka gagal menjawab soalan-soalan yang berbentuk KKBAT ini. Kemahiran berfikir aras tinggi ini kalau dahulu hanya untuk orang dewasa sahaja yang mampu.  Kini penguasaannya memerlukan para pelajar tidak statik dengan apa yang ada secara nyata sahaja.  Penguasaannya memerlukan para pelajar mencari maklumat-maklumat terkini dan membuka zon selesa dan berada diluar kotak yang biasa.  Insyaallah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.



KELEBIHAN PERSEDIAAN AWAL UNTUK PEPERIKSAAN

72/100

Kelebihan biasanya akan berpihak kepada mereka yang membuat langkah bijak dan terawal.  Dari itu mulakan persediaan awal untuk peperiksaan yang bakal menjelma. Kelebihan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
DAPAT ULANGKAJI SECARA BERPERINGKAT
Pada permulaan anak pertama masuk darjah 2 saya  berpendapat tak mengapa tak ulangkaji awalpun walaupun anak-anak masih di peringkat  tahap 1.  Saya beranggapan silibus adalah senang dan mudah untuk dikuasai tanpa melihat silibus terkini sekolah.  Apabila Kakak Widaad mendapat keputusan akhir peperiksaan akhir tahun darjah 2, saya terperanjat gila.  Subjek Matematik kakak telah jatuh merudum dari A kepada D.  Saya berasa malu yang amat sangat.  Di mana silapnya.  Dari situ saya mula melihat silibus terkini untuk subjek Matematik darjah 2.  Rupa-rupanya sudah ada topik darab dan bahagi diperingkat tersebut.

Sejak itu bermula awal tahun darjah 3 berikutnya, saya mula membuat latih tubi secara berperingkat-peringkat untuk darab dan bahagi bagi anak-anak saya sebab nak capai balik target silibus tahun lepas.  Jika diperhatikan ye silibus untuk pelajar darjah 2 yang terkini ini meliputi hampir 13 bab.  Antaranya ialah:
  1. Nombor hingga 1000
  2. Tambah dalam Lingkungan 1000
  3. Tolak dalam Lingkungan 1000
  4. Darab
  5. Bahagi
  6. Pecahan
  7. Perpuluhan
  8. Wang hingga 100
  9. Masa dan Waktu
  10. Panjang
  11. Jisim
  12. Isipadu cecair
  13. Bentuk

Gerun tengok silibus ni kan?  Baru darjah 2.  Kita dulu-dulu takdelah macam ni.  Rasanya naik darjah 6 baru jumpa kut nombor 1000 ni.  Hahaha.  Bagaaimana dengan silibus subjek lain?  Cuba anda belek-belek dan perhatikan buku anak-anak di rumah.  Ini hanyalah gambaran sebahagian kecil sahaja.  Saya di sini bukanlah nak mengajar kalian tetapi hanya untuk memandu apa realitinya masa kini.  Perhatikan dan cari resolusinya sendiri.


TIADA STRESS
Apabila anak-anak telah dapat mengulangkaji secara berperingkat-peringkat, maka sudah pasti tiada tekanan kerana sudah habis ulangkaji semua bab.  Cuma hanya latih tubi untuk bab-bab yang agak susah sahaja seperti penyelesaian masalah bagi subjek matematik contohnya.  Ramai yang tidak faham kehendak soalan.  Baca soalan tetapi tidak faham.  Yang kes macam ni ramai sangat saya jumpa.  Jadi berhati-hati ye ibu-ibu.

EMOSI LEBIH TENANG
Apabila anak-anak membuat persediaan awal maka pasti mereka sudah dapat menjangkakan tarikh peperiksaan yang hampir tiba maka secara automatiknya mereka akan lebih tenang.  Rasa seronok dan tak sabar nak pergi berjuang ibaratnya.  Pernah Kakak Widaad cakap kepada saya tak sabar rasanya ummi, Kakak nak pergi peperiksaan esok!  Hahaha ada pulak ayat gitu.  Tak pernah-pernah terfikir pun oleh saya perkataan sebegitu.  Iyelah umminya zaman belajar selalu belajar disaat akhir.  Maka takkan jumpalah ayat macam kakak ni.:)




JANGAN TUNGGU SEHINGGA PEPERIKSAAN TIBA

71/100
TIPS PEPERIKSAAN 2:
JANGAN TUNGGU SEHINGGA PEPERIKSAAN TIBA
Dulu-dulu zaman belajar di UUM selalunya saya ini suka ulangkaji di akhir-akhir waktu.  Biasanya dua minggu nak mengadap peperiksaan barulah saya serius.  Sebenarnya itu salah ye!  Jangan ikut cara saya tadi.  Kesannya mulalah malam tak cukup tidur.  Muka sembab sebab berjaga malam.  Esok pagi mulalah bangun lambat dan berebut bilik air dengan rakan-rakan yang lain.  Hahahaha.  Itu semua kenangan.

DAPATKAN INFO DARI GROUP WASSUP PIBG SEKOLAH
Kalian boleh pasang strategi dari awal untuk anak-anak.  Berbaik-baikla
h dengan pihak Persatuan Ibubapa dan Guru Sekolah contohnya menyertai group wassup ahli jawatankuasa PIBG sekolah.  Dapatkan info terkini bilakah tarikh peperiksaan anak-anak kalian.  Biasanya dalam group tersebut ibu-ibu akan dapat maklumat lebih cepat dari cara biasa iaitu mendapat surat dari pihak pengurusan sekolah.  Iye lah surat lambat sikit kan! Mahu dua atau tiga hari baru sampai ke tangan ibubapa.  Ada juga kes surat pemberitahuan tersebut tak sampai-sampai ke tangan ibubapa kerana disorokkan oleh anak-anak dalam beg.  Jangan ketawa ya!  Ini kisah benar.  Oleh kerana anak tak mahu ulangkaji untuk peperiksaan maka di simpannya surat pemberitahuan peperiksaan ini dari pengetahuan ibubapa.  Oleh itu kesimpulannya ibu-ibu perlu lebih pintar dan cekap dari anak-anak.  Ha gituuuu.

PERANGKAAN AWAL DI KALENDAR

Di samping itu tipsnya ialah kalian boleh buat perangkaan awal peperiksaan anak-anak dengan menggunakan kalendar.  Catatkan bulan-bulan yang mereka akan tempuhi peperiksaan.  Tampalkan kalendar tersebut di hadapan meja kerja anda di rumah.  Harus ada meja kerja untuk ibu di rumah.  Samaada bekerja, berniaga kecil-kecilan atau suri rumah.  Ini bagi memberi laluan kepada ruang personel ibu-ibu untuk merangka apa yang perlu ibu-ibu lakukan untuk membuat perancangan masa hadapan sendiri mahupun untuk anak-anak dan keluarga.

URUS TEKANAN IBU DAN ANAK DENGAN BAIK
Tekanan memang akan ada di mana-mana. Cuma terpulang kepada kita bagaimana menguruskannya dengan baik.  Seorang ibu yang pintar mampu mengurus tekanan emosi sendiri dan boleh memotivasikan anak mereka agar tidak tertekan dengan peperiksaan yang bakal tiba.  Ada dua posisi yang kalian perlu tahu.  Pertama bagaimana mahu provok anak-anak agar lebih bersemangat bilamana mereka kelihatan goyah dan kurang bersemangat.  Posisi ke dua bagaimana ibu-ibu dapat menguruskan-anak-anak yang tertekan setelah penat belajar bertubi-tubi.  Ini yang ibu-ibu perlu kuasai.  Kena pandai main tarik tali okey!

Bagi anak-anak yang kelihatan kurang bersemangat kerana memikirkan banyak lagi yang perlu dikhatamkan.  Nasihat dan beri sokongan.  Duduk di sebelah semasa sessi ulangkaji pun sudah amat bermakna untuk anak-anak.  Sekurang-kurangnya mereka tahu ibu atau bapa sentiasa ada walau di saat genting mana sekalipun.

Bagi anak-anak yang sudahpun mengulangkaji sehingga habis silibus, hargai mereka. Ibu ayah boleh bawa mereka bertenang sekejap.  Antara perkara-perkara yang boleh dilakukan bersama ialah beriadah, berjogging di hadapan rumah dan ya boleh juga  sama-sama membantu ibubapa membersihkan halaman rumah umpamanya.  Ada juga kadang-kadang anak-anak habis awal dalam mengulangkaji.  Maka ibu ayah boleh bawa mereka mandi di kolam renang di Kompleks sukan terdekat contohnya.  Tiket untuk masuk pun tak mahal sebab kolam renang untuk orang awam.  Kalau di Bentong ada satu Kompleks Renang di situ.  Seronok juga.  Kalau nak lebih keriangan boleh pergi ke Kolam Air Panas.  Di situ airnya lebih baik kerana selepas mandi badan akan jadi lebih segar dan nyaman.

Moga-moga hilanglah tekanan mereka.  Semoga Allah berikan kesegaran minda dan dipermudahkan jalan untuk hari esoknya.  Amin.



PEMAKANAN KESIHATAN YANG BAIK UNTUK PELAJAR

70/100
Teks:Niyda
Foto:
Pemakanan kesihatan yang baik untuk pelajar

Melewati usia empat puluhan ini, terasa benar dikala letihnya.  Saban hari bertarung dengan keringat.  Walaupun kehidupan sebagai surirumah adalah biasa-biasa sahaja tetapi berkejaran dengan tugasan-tugasan dapur,rutin harian sebagai penulis dan mengajar tuisyen serta menghantar dan mengambil anak ke sekolah memerlukan disiplin yang tinggi.  Mata dan hati perlu peka dengan masa.  Pengurusan masa yang terancang amat perlu.  Jika tidak dijaga, terbabaslah akhirnya.  Hahaha.

Mengenang kisah zaman silam, dalam bab pantang semasa belajar sering saya diingatkan oleh ibu saudara saya.  Orang belajar mengaji ini pantangnya tak boleh makan makanan yang ada semut.  Nanti cepat lupa katanya.  Dalam pada itu juga kami dilarang sama sekali makan organ dalaman.  Contohnya hati ayam, limpa,perut dan seumpamanya.  Tapi itulah bila sudah berkahwin ini, segala pantang larang itu seakan semakin terhakis.  Begitu juga dengan makan kepala ikan.  Tidak dibolehkan juga.  Antara punca-punca cepat lupa orang tua-tua kata. Dan satu lagi ustazah mengaji saya juga pernah berpesan, kalau mahu makan nasi atau lauk yang telah dimasak semalam, maka pagi esoknya perlu dipanaskan semula apabila mahu makan.  Begitu teliti sekali orang dulu-dulu menjaga pantang larang.  Kini kisah ini seolah-olah dilupakan.
JUS DELIMA
Pemakanan yang baik untuk anak-anak sebenarnya mudah sahaja.  Ikuti contoh Sunnah Rasulullah S.A.W.  Baginda sangat menyukai buah delima.  Buah syurga.  Buah ini mempunyai pelbagai khasiat dan dikatakan mampu menjadi penawar kepada hampir 42 jenis penyakit.  Apa yang menariknya semasa saya mengandungkan Wafirah anak ketiga dahulu, memang menjadi kewajipan setiap bulan saya minum jus delima ini.  Kesnya saya mengalami hemoglobin yang rendah.  Saya tak boleh nak telan daging dan juga ubat telan untuk kompilasi ini.  Atas dasar itulah saya mengamalkan jus delima ini.  Alhamdulillah hb saya berada di paras yang normal berbanding yang sebelumnya.  Wafirah pun saya tengok sangat aktif dan mempunyai IQ yang lebih tinggi berbanding kakak-kakaknya yang lain.
Jus delima ini sekarang sudah banyak di pasaran.  Jenama yang terbaik setakat ini yang saya cuba ialah jenama Gulsan.  Harga RM 15.00 sahaja.  Bolehlah minum untuk stok sebulan bagi sebotol.  Rasanya agak masam berbanding dengan jenama yang lain.  Kalian boleh tambahkan dengan air atau madu dalam gelas sebelum minum untuk mengurangkan rasa masam tersebut.  Kalau anak-anak mudah terkena demam,batuk dan selsema, beri saja jus delima ini.  Insyaallah,cepat baik adanya.
KURMA COKLAT
Kita berusaha.  Selebihnya serahkan sahaja kepada Allah S.W.T.  Anak-anak perlukan sokongan ibubapa dari banyak sudut.  Banyak ruang yang kita boleh berikan.  Cuma perlu bijak dan rajin dalam mencari maklumat.  Kurma dan coklat.  Satu gabungan yang sangat bagus saya kira.  Kurma memberikan tenaga manakala coklat mampu memberikan kita rasa tenang dan damai.  Gabungan kedua-duanya sangat unik.  Anak-anak saya biasanya tak suka makan kurma begitu sahaja.  Tapi kalau kurma berintikan coklat, pasti mereka berebut.  Ibu-ibu perlu kreatif dalam bab ini.  Saya yakin anda mampu untuk menguruskannya.

Sekian sahaja entry untuk kali ini.  Ketemu lagi di lain masa.  Salam sayang dari saya.



ADAB MENUNTUT ILMU

69/100
Teks:Niyda
Foto:

Petang ini hujan membasahi bumi. Bahang panas terasa sejak azan asar tadi. Namun mula surut sekitar jam 6.00 petang. Kalau dulu-dulu jam 5.00 petang sudah surut panasnya.  Kini jam 5.00 petang masih ada di dalam rumah. Panas belum berkurang.  Syukur alhamdulillah.  Hujan tiba juga.  Mohon doa.  Insyaallah mustajab.

Melihat perkembangan anak-anak didik dari bangsa Cina, syukur sudah ada peningkatan.  Walaupun berlainan bahasa dan budaya, tetapi itu tidak mematahkan semangat  juang saya.  Kim contohnya ( darjah 3 dan bukan nama sebenar) sudah boleh membaca dengan agak baik berbanding semasa kelas pertama.  Begitu juga dengan Jhai( bukan nama sebenar).  Sudah ada perubahan.  Namun dalam pada itu adab-adab belajar masih kurang. Ini yang ingin saya tekankan di sini.
ADAB DENGAN GURU
Adab dengan guru yang pertama tidak meninggikan suara.  Tak usah berbohong dengan guru.  Jika seorang guru sudah patah hati,maka hilanglah barakah kepada anak muridnya.
ADAB MEMULAKAN KELAS
Adab memulakan kelas dengan bacaan doa.  Berdoa moga dibukakan pintu hati agar terang hati dalam proses belajar.  Pernah saya suruh seorang pelajar darjah 3 berbangsa Melayu untuk membacakan doa sebelum belajar. Namun hampa.  Pelajar itu gagal membacakan doa tersebut.  Moralnya di sini apakah di sekolah tidak diajar perkara sebegini atau pelajar yang mengambil sikap enteng.  Ada sesuatu yang perlu difikirkan di situ.
ADAB MELETAKKAN BUKU
Adab meletakkan buku juga satu perkara yang sangat mulia.  Jaga buku kalian wahai anak-anakku.  Jangan dilangkah buku-buku yang kamu pelajari itu walaupun ianya bukan buku agama.  Hilang hormat kepada ilmu maka hilanglah berkat ilmu itu.  Pernah berlaku dalam sessi kelas saya, ada murid yang main langkah sahaja buku beliau sendiri.  Ada juga yang main campak sahaja buku-buku mereka.  Ada juga jika yang diberi kertas fotostat, sudah habis kelas maka ditinggalkan sahaja kertas fotostat itu di dalam meja.  Apabila ditegur, barulah ada perubahan sedikit.  Sikapnya di mana.  Nilai –nilai positif dan nilai-nilai murni harus diterap dari rumah.  Jika ibu-ibu gagal di rumah untuk membentuk displin anak-anak, bagaimana pula di sekolah dan di tempat awam.  Mari kita fikir-fikirkan.
Manusia yang mempunyai adab bukan sahaja dihormati tetapi disayangi oleh semua orang.  Adab bertutur dana berbudi bahasa amat digalakkan.  Namun gaya dan santunan itu makin pupus terutamanya jika dilihat dalam perspektif masa kini. 
Bukan siapa yang terbaik tetapi siapa yang mahu berbuat baik.  Berbuat baik kepada guru akan menambah barakah hidup kalian.  Ingat yang satu itu.  Menuntut ilmu ada adabnya.  Hilang adab maka hilanglah serinya manusia yang berilmu itu.

Burung berkicau kembali ke sarang.  Seakan memberi maklum bahawa hari sudah lewat petang.  Berhentilah menulis untuk petang ini.  Begitu agaknya yang ingin diterjemahkan.  Esok-esok bersambung lagi.  Jika masih ada nafas berjumpa lagi.  Saya doakan yang terbaik untuk kalian.  Sekian entry kali ini.  Jumpa lagi. 


KUASAI SUBJEK LEMAH


 KUASAI SUBJEK YANG LEMAH
Hujan membasahi bumi malam ini.  Anak-anak saya masih belum pulang.  Sepetang berjalan bersama Aki ke Genting katanya.  Jarang-jarang dapat berjalan jauh.  Saya lepaskan juga kali ini.  Maka kelas Tea Kwan do tak dapatlah pergi hari ini.  Kini sudahpun masuk ke bulan Oktober. Pertengahan bulan depan akan bermulalah peperiksaan akhir tahun.  Strategi untuk menghadapi peperiksaan perlu di atur dari sekarang.  Ibu-ibu di rumah juga mungkin sudah maklum tentang hal ini.  Bulan November bulan peperiksaan.  Maka bulan Oktober adalah bulan persediaan.
Bersesuaian dengan tajuk hari ini, saya nak kongsikan dengan ibu-ibu diluar sana apakah keperluan atau strategi ibu-ibu untuk anak apabila menanti saat ketibaan hari peperiksaan tiba.  Di sini saya gariskan beberapa tips mudah yang mana mungkin ia boleh membantu anak-anak di rumah.
SATU SUBJEK PERLU 4 BUKU LATIHAN
Pada suatu ketika dulu saya pernah berbual dengan seorang guru di pekan Benta ini.  Apakah strategi anak beliau dapat skor A dalam semua subjek utama kerana bagi saya subjek Matematik dan Bahasa Inggeris agak susah untuk anak-anak Melayu skor A. 
Tips yang dikongsi ialah dapatkan 4 set buah buku latihan untuk satu subjek.  Makna kata perlu ada 16 buah buku latih tubi untuk 4 subjek utama tersebut.  Turut bersama langkah penjimatan yang di kongsikan semasa pembelian ialah dapatkannya di Karnival Jualan Buku di Kuala Lumpur atau Pesta Buku setiap tahun.  Harga memang menjunam murah dan berbaloi. 
Setakat ini saya belum berpeluang pergi.  Maklumlah komitmen dengan anak kecil, bersekolah lagi serta masa cuti sabtu dan ahad yang terhad pergerakkan dek penangan kelas tuisyen.  Apa yang saya mampu buat ialah dapatkan di kedai-kedai buku yang berdekatan contonhya kedai buku di Raub.  Pantang bagi saya fotostat buku yang dibeli kerana amalan ini sebenarnya mengaburkan mata dan hati anak-anak.  Sebab apa saya berkata begitu? Ya kertas yang telah difotostat rupanya akan menjadi hitam putih atau kabur termasuklah kulitnya.  Maka yang masuk dalam pemikiran anak-anak juga adalah sesuatu yang kabur-kabur juga. 
Ingat otak sukakan warna.  Dari itu saya tidak sarankan ibu-ibu membuat salinan buku yang dibeli kerana kesannya anak kurang faham dan kurang ingat latihan yang telah mereka buat.  Dalam pada itu memang sudah tertera di helaian depan buku kebiasaannya penerbit tidak membenarkan salinan fotokopi tanpa kebenaran bertulis atau lisan dari pihak mereka.  Jadi di situ kalian  perlu jaga keberkatan.  Keberkatan dalam menuntut ilmu.  Ini yang ramai kawan-kawan kita di luar sana sering tewas.

KENALPASTI SILIBUS PELAJARAN
Bila bercerita tentang silibus pelajaran ini,pengalaman saya hampir dua tahun kebelakangan ini silibus sering berubah.  Contohnya silibus darjah 4 bagi subjek Bahasa Melayu bab mencari makna perkataan yang sinonim telah pun diturunkan ke darjah 1.  Agak laju bagi saya.  Tahun lepas iaitu 2016 masih tiada lagi bab mencari makna seerti ini.  Namun untuk tahun ini iaitu tahun 2017, amat terkejut juga buat saya.  Terpinga-pinga saya bila anak murid darjah 1 datang bertanya apa makna perkataan itu.  Maka tahulah saya sejak itu silibus hampir pasti berubah setiap tahun.  Makin mencabar minda kita.  Oleh itu saranan saya buka minda ibu-ibu.  Kuasai maklumat baru.  Ambil tahu sentiasa tentang pelajaran anak-anak kita.
HABISKAN MEMBUAT LATIHAN MENGIKUT SILIBUS PELAJARAN SEBELUM PEPERIKSAAN
Semakin hampir peperiksaan maka semakin hampir debaran terasa.  Anak dan ibu sama naik kadang-kadang tu stress sebab nak kejar habiskan silibus subjek.  Ini biasa terjadi apabila ulangkaji di saat akhir.  Semua serba tak kena.  Oleh itu nasihat saya lebih baik sekiranya ulangkaji pelajaran sejak awal persekolahan lagi iaitu pada bulan Januari.  Strategi ini mampu untuk menghindarkan tekanan para pelajar dan ibu-ibu dapat memastikan ulangkaji setiap  silibus dapat dibuat  sedikit demi sedikit dan teratur. 
LATIHAN TOPIKAL BAB YANG LEMAH
Setelah ibu-ibu memastikan anak-anak mengikuti semua silibus dalam sesuatu subjek, maka cuba pula untuk melihat apakah topik-topik yang mereka lemah.  Buat latihan bab tersebut sehingga mereka menguasai topik-topik tersebut.  Kebiasaannya di pasaran ada dijual buku latihan topikal ini.  Ia amat sesuai digunakan di saat akhir peperiksaan menjelang.  Bukunya yang tidak terlalu tebal akan dapat membantu juga dari segi memotivasikan anak-anak agar cepat-cepat menghabiskan latihan dalam buku tersebut.  Oh ya!  Lupa nak kongsikan juga.  Buku-buku latihan yang agak padat,tebal seperti Sasbadi amat sesuai digunakan di awal waktu seperti di bulan Januari.  Kandungan buku latihannya meliputi nota padat dan latihan amat sesuai digunakan untuk anak-anak.  Semuanya terpulang kepada ibu-ibu.  Ya kan!




TIDUR AWAL

75/100 Teks:Niyda Foto: Menonton rancangan hiburan memang amat mengasyikkan.  Kita sendiri pun akan turut terleka kadangkalanya.  P...