Wednesday, 20 September 2017

PAPAN PUTIH A4

60/100
Teks:Niyda
Foto:  Google



Papan putih tajuk hari ini.  Zaman dulu-dulu dipanggil papan hitam ada.  Papan hijau pun ada.  Papan hitam yang bersaiz besar di sekolah.  Hanya boleh digunakan oleh guru-guru sahaja.  Menulis menggunakan kapur putih.  Apabila hendak dipadam maka berdebulah. Habis satu kelas dek penangan kapur tulis tadi.  Sekarang pun masih ada penggunaannya di sekolah.  Namun di peringkat menengah saya rasa penggunaan papan hitam atau hijau ini sudah hampir tiada.

Zaman berlalu begitu cepat.  Pasaran peralatan alat bantuan mengajar untuk pelajar-pelajar semakin canggih.  Dengan mudahnya ibu-ibu boleh dapatkan peralatan sebegini.  Lihat sahaja di laman web jualan seperti Lazada.  Banyak yang tersedia.  Pilih dan dan sediakan sahaja wangnya.

Permintaan untuk menggunakan papan putih beserta marker saya terima dari anak saya Wani.  Sejak kelas bulan Januari  2017 lagi kedengaran permintaan untuk papan putih ini disebut-sebut berulangkali.  Awal tahun banyak perkara yang perlu dibeli baru.  Jadi kami set papan putih ini beli lambat-lambat pun tak apa.  Tapi macam cacing kepanasan juga Si Wani menunggu untuk dapatkan papan putih ini dari saya. Apabila sudah begitu, akhirnya saya belikan juga papan putih ini.

Mulanya saya tanya juga anak saya mengapa perlukan papan putih ini di sekolah.  Lalu anak saya jawab sebab cikgu yang suruh untuk penggunaan subjek matematik di dalam kelas.  Oh! Begitu rupanya.  Baru saya faham.  Dari situ saya mula melihat.  Bagus juga penggunaan papan putih bersaiz A4 ini.  Banyak kelebihannya.  Antara yang dapat saya senaraikan di sini ialah:

Pelajar akan dapat membuat latih tubi tanpa menggunakan kertas yang banyak.  Maka jimat kertas di situ.
Pelajar akan dapat bersaing dengan pelajar yang lain siapa yang dapat menyiapkan jawapan terlebih dahulu lalu mengangkat jawapan kepada guru di depan.  Di sini natijahnya rasa yakin diri akan wujud dalam diri murid-murid.
Kaedah ini akan membuatkan pelajar akan berasa lebih seronok dan teruja untuk belajar.

Untuk penggunaan di rumah pula saya lihat ia sangat bagus untuk latih tubi matematik bab tambah, tolak,darab dan bahagi dalam bentuk lazim.  Kebiasaannya begitulah.  Tak cukup kertas nak buat latih tubi.  Sudahnya kena tunggu masa nak ke kedai untuk beli buku kotak atau kertas kosong. Ha bila bercakap bab kertas ni keluar pula idea nak cerita tentang kertas warna.  Satu keperluan anak-anak juga ni.  Nanti ada masa lapang saya kongsikan pula bab kertas warna ini.

Sekian sahaja untuk bab white board.  Nanti kita borak-borak lagi.  Saya mahu ke pusat Internet sekejap.  Mahu kemaskini entry terbaru.  Kak Mas dah tegur saya label belum dimasukkan lagi dalam blog.  Jadi kenalah dengar cakap sifu kalau inginkan yang terbaik untuk diri.  Salam sayang dari saya. 
Bersama rapatkan saf demi ummah.


BUKU SIFIR UNTUK SI CILIK

59/100
Teks:Niyda
Foto:  Google



Memandangkan bab sifir ini selalu menjadi perbualan ibu-ibu hari ini.  Maka saya keluarkan tajuk ini untuk hari ini.  Memang menjadi tekanan sebagai guru tuisyen matematik apabila murid-murid tidak menguasai sifir.  Walaupun pelajar baru darjah 2,3 dan 4 namun tekanan itu sangat saya rasai. 
Bila menyemak kembali silibus sekolah untuk tahun ini, ibu-ibu harus tahu ye sukatan pelajaran bab sifir ini sudah ada untuk darjah 2. 

Menguasai sifir itu juga suatu seni.  Seni yang harus dijaga antaranya ialah harus tahu hukum nombor ganjil dan nombor genap.  Jika nombor tersebut nombor genap contohnya nombor 2 maka hasil sifir yang terhasil pastilah nombor genap sahaja.  Tidak akan keluar nombor yang ganjil.  Bab yang itu murid-murid kena jelas secara asasnya.  Namun untuk nombor ganjil akan ada juga hasil darabnya nombor genap.  Itu normal dan pelajar harus berhati-hati.  Contonhnya nombor 3 darab 10 maka hasil darabnya adalah nombor 30 iaitu nombor genap.

Untuk memahirkan pelajar-pelajar ini saya sarankan ibu-ibu harus bermula seusia 3 tahun lagi.  Rekod di sekolah anak saya iaitu pelajar UPSR  yang mendapat 6A menunjukkan sejarah bahawa beliau telah menghafal sifir seawal 3 tahun lagi.  Bayangkan tuan puan tahap IQ yang beliau perolehi.  Saya tidak memaksa ibu-ibu diluar sana namun jika mahukan keputusan yang cemerlang maka harus bermula sekarang.  Jangan tunggu esok dan esok.  Kerja bertangguh tak akan menjadi orang kata.  Itu orang kata ya.  Bukan saya kata.

Bagi mendapatkan buku sifir yang comel-comel mudah sahaja.  Pergi sahaja ke kedai buku yang berdekatan.  Harganya pun tak mahal.  Mampu milik orang kata.  Dalam RM 1.50 pun dah dapat buku ini.  Versi nota poket.  Maka mudahlah anak-anak membawanya ke mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Suka saya nak ceritakan pada kalian di sana memandangkan saya dalam proses projek rintis kelas sifir cara lama iaitu kaedah hafalan, kini Shafini pelajar saya yang berusia 7 tahun sudahpun masuk ke hafalan sifir 6.  Saya target sekurang-kurangnya beliau tamat sebelum penghujung tahun ini.  Apa yang menariknya ibu Shafini nak cuba rangsangkan beliau supaya cepat habis hafal sifir dengan cara memberi ganjaran dengan kelas Tea Kwan Do pula.  Saya harap menjadilah perancangan ibu Shafini  itu nanti.

Dalam pada itu apa yang saya buat dengan Shafini ialah setiap minggu iaitu pada petang hari sabtu beliau akan datang ke rumah saya untuk saya check sampai tahap sifir berapa sudah beliau menguasai sifir.  Kemudian saya akan tandakan dibahagaian atas halaman buku sifir beliau supaya mudah saya mengingat berapa lamakah masa yang telah diambil beliau untuk menghafal satu-satu sifir.  Kerja keras bersama ibu di rumah amat penting.  Di sinilah latih tubi bermula.  Dalam kereta, semasa nak tidur masa-masa senggang digunakan sebaiknya.  Bagus juga cara ibu Shafini tu.  Nak tunggu masa yang ideal memang tak dapatlah sebab jadual Shafini penuh.

Baiklah saya harap untuk entry kali ini ibu-ibu di luar sana mendapat sedikit ilham bagaimana nak rangsang anak-anak dalam bab penguasaan sifir ini.  Ini baru bab hafalan iaitu asas.  Belum masuk lagi bahagian penulisan soalan dalam bentuk lazim, soalan berbentuk ayat dan cerita dan seterusnya soalan KBHAT.  Banyak lagi langkah-langkah seterusnya.  Saya doakan kalian berjaya.  Amin.


MEMBACA BAHASA MELAYU: FOKUS DENGAN SEBUTAN

58/100
Teks: Niyda
Foto:  Google

Malam tadi kami 4 beranak sibuk di meja makan.  Walaupun meja belajar sudah ada.  Namun saya dan anak-anak lebih selesa belajar bersama di meja makan.  Keadaan meja makan yang besar dan lebar membolehkan capaian saya tidak terhad.  Saya lebih bebas memantau aktiviti ulangkaji bersama anak-anak berbanding dengan menggunakan meja belajar sendiri.  Ialah 3 orang sekali gus.  Mana mungkin saya dapat bergerak ke tiga tempat dalam masa yang sama. 

Maka meja makan kami saya hias cantik dan bersih dari segala sisa makanan setiap kali ulangkaji.  Saya hamparkan pelapik meja.  Hampir setiap  2 atau tiga kali sehari saya akan basuh supaya meja makan kami nampak selesa dan harmonis untuk sessi pembelajaran dengan anak-anak.  Untuk meletakkan hidangan makanan saya gunakan meja empat segi yang sudah sedia ada di rumah.  Maka makanan tetap tersedia di situ.  Cuma apabila mahu makan bersama barulah saya alihkan ke meja makan utama.  Memandangkan anak-anak saya ini ada saja aktivitinya semasa ulangkaji pelajaran ( contoh menggunting kertas atau mewarna) jadi pilihan saya ialah meja makan.Senang, mudah dan strategik.

Baiklah orang pertama yang saya tuju malam tadi ialah Wafirah.  Berumur 4 tahun. Saya dalam proses untuk capai target supaya sekurang-kurangnya hujung tahun ini Wafirah sudah boleh membaca suku kata yang mudah.  Alhamdulillah anak yang ini jenis cepat dapat.  Dengan menggunakan teknik phonik iaitu dengan sebutan, gerakkan mulut.  Sering berlaku di dalam kelas Bahasa Melayu, anak-anak yang kurang mahir membaca akan membaca dengan nada yang perlahan dan sebutan yang tidak jelas. 

Terkini  ramai pelajar di kalangan pelajar darjah 1 hingga 3 tidak boleh membaca dengan lancar.  Bukan sahaja di peringkat sekolah luar bandar.  Malah sekolah dalam bandar pun ramai yang terjadi.  Saya sedikit hairan bagaimana pelajar dalam bandar pun boleh ketinggalan dalam bab bahasa.  Adakah ibu bapa di rumah kurang mengambil berat bab bacaan ini atau tiada masa untuk berbual dan mengambil tahu tentang pelajaran anak-anak.  Sibuk dengan telefon masing-masing.

Belajar bahasa memerlukan membaca, mendengar dan menulis.  Jika langkah pertama iaitu mebaca tidak dipraktiskan dengan menggunakan suara yang lantang, jelas, maka sudah pasti fokus untuk bab membaca itu akan gagal.Latih tubi sangat diperlukan dalam bab ini.  Kebiasaannya jika murid sudah boleh menyebut suku kata yang mudah, maka dalam tempoh dua bulan selepas itu dengan latih tubi yang berterusan selama dua bulan pelajar tersebut akan dapat membaca  dengan lancar termasuklah yang bersifat diftong.  Kes ini berlaku dengan pelajar saya iaitu Nadim.  Pelajar pra sekolah berumur 6 tahun.  Masalahnya mudah sahaja.  Boleh membaca tetapi tidak boleh menyebut suku kata yang di tengah.  Contoh menari.  Disebutnya meri.  Diambil yang suku kata yang pertama dan terakhir sahaja.  Suku kata yang tengah ditinggalkan.  Jadi dengan latih tubi membaca yang berterusan sahaja dapat menyelesaikan kes seperti ini.  B

Begitu juga dengan halnya dengan anak-anak yang ketinggalan dalam bab membaca peringkat darjah 1 hingga 3.  Saya harap ibubapa di rumah kena tekan gearlah ya.  Silibus mereka tinggi.  Jadi jika masalah yang asas ini tidak diselesaikan dari awal, maka kesudahannya D atau E keputusan peperiksaan mereka.  Sudahlah tidak tahu membaca bagaimana pula mahu menguasai teks kefahaman dan menjawab soalan.  Bertabahlah ibu-ibu di rumah.





Monday, 18 September 2017

KOTAK PENSIL BERSIFIR

57/100
Teks:  Niyda
Foto: Google

Tadi saya cuba memasukkan benang ke dalam lubang jarum untuk menjahit seluar suami.  Allahuakbar.  Mula rasa diri sudah tua.  Hampir tak nampak sudah lubang jarum yang dahulunya begitu senang untuk saya lakukan.

Begitulah putaran kehidupan.  Sehingga di suatu masa akan tibanya masa kita dijemput Ilahi.  Begitu jugalah halnya dengan tajuk utama untuk petang ini iaitu kotak pensil.  Pelbagai rekaan kotak pensil hadir dipasaran masa kini.  Pilih sahaja yang mana anak anda suka.  Mudah sahaja kalau cari web di Lazada juga.  

Namun awas kotak pensil terbaru yang ada di pasaran sekarang ini mempunyai panduan sifir sama ada di dalamnya atau mempunyai kalkulator di atasnya.  Ada beberapa kelemahan yang  nampak di situ.  Antaranya ialah:

  1. Pelajar akan malas untuk menghafal sifir
  2. Ditakuti waktu peperiksaan berlaku kes peniruan dari kotak pensil.
  3. Pelajar hanya bergantung kepada sifir yang berada di kotak pensil.
Pengalaman mengajar anak-anak murid tahap 1 banyak memberi kesedaran kepada saya.  Kebanyakkan pelajar masa kini dibenarkan untuk melihat buku sifir ketika membuat latihan di dalam kelas di sekolah.  Apabila ini berlaku, kemenjadian murid dalam bab sifir sangat sukar.  Silibus di sekolah pada saat saya menulis ini menunjukkan darjah 2 sudah ada bab sifir. Sifir mengambil masa yang agak lama untuk dikuasai.  Cara dan teknik baru mungkin ada seperti teknik Roya dan Adimatik.  Cuma bagaimana anak-anak dapat mempraktikkan dan menguasainya dalam pembelajaran atau tidak.

Saya masih dengan cara lama.  Saya yakin walaupun teknik lama tetapi jika diusahakan dari peringkat awal kanak-kanak,  insyaallah mereka akan dapat menguasai sifir dengan jayanya.  Maka masalah anak-anak Melayu kurang cemerlang dalam subjek matematik akan dapat dikurangkan.

Kini saya juga dalam projek rintis dengan cara lama berapa lama masakah yang diambil oleh seorang pelajar untuk menghafal sifir?  Insyaallah apabila siap projek rintis saya ini, saya akan kongsikan di dalam blog ini.  Nantikan pengumumannya ya!

Baiklah cukup setakat ini sahaja dahulu buat kali ini.  Untuk ibu-ibu diluar sana pastikan anda mencuba untuk hafal sifir bagi anak-anak sekalian.  Jangan lupa hafal sifir seawal umur tiga tahun.  Usaha kalian sangat dihargai.  Sebagai guru kami perlukan sokongan yang padu dari ibubapa dari rumah.  Tanpa bantuan ibubapa mana mungkin kecemerlangan anak-anak dapat diperolehi.  Sekian sahaja untuk kali ini.  Sehingga berjumpa lagi dilain entry.  Sekian.



KAITAN SOLAT, AKHLAK DAN PELAJAR CEMERLANG


56/100
Teks:Niyda
Foto: Google

Sudah seminggu juga saya tidak menulis.  Hati sentiasa berfikir ligat.  Mengapa dan apa punca anak-anak seawall usia 11 tahun hingga 18 tahun boleh terlibat dengan punca kebakaran tersebut.  Dek kerana amarah dan dendam membara nyawa manusia jadi taruhan.

Saya tidak mahu membincangkan tentang mengapa gerigi besi dipasang di Pusat Tahfiz itu.  Pastinya itu adalah untuk keselamatan anak-anak Tahfiz itu.  Apa yang ingin saya fokuskan di sini ialah di mana akhlak anak-anak zaman sekarang.  Di mana perginya tanggungjawab ibubapa.  Sudah tidak tahu merotan anakkah apabila mereka pulang lewat ke rumah?  Atau sudah tidak mahu ambil pusing ke mana anak mereka pergi sehingga ke pagi hari?

Allahhuakbar! Tuan-tuan dan puan-puan.  Anak itu tanggungjawab kita.  Selagi ia berada di bawah pengawasan dan jagaan  kita, jangan pernah putus asa menasihati dan menasihati.  Penat?  Memang penat tuan puan puan.  Mana mungkin untuk mendapat permata yang mahal itu dengan harga yang murah.  Pastinya permata yang mahal itu sukar untuk mendapatkannya.  Perlukan kekuatan mental.

Hari ini bila kita nak lihat bagaimana anak-anak kita. Lihat ibubapanya.  Pepatah Melayu ada berkata, bapa borek anak rintik.  Masih boleh diguna pakaikan  pepatah ini tuan puan.  Sedih dan pilu apabila mengenangkan situasi ini.  Apabila kita lihat ibubapa mereka pula  kita lihat pula masyarakatnya dan apabila kita lihat masyarakatnya kita lihat pula pemimpin.  Inilah cerminan dan gambaran masa depan kita sebenarnya.  Sedang menuju ke ambang kejatuhan.

Saya menyeru untuk penulisan ke sekian kalinya ini tuan puan.  Mari jaga solat anak-anak kita.  Pesanan ini untuk diri sendiri dan ingatan peribadi saya juga.  Anak-anak yang hendak kita didik ini biarlah cemerlang akademiknya seiring dengan cemerlangnya akhlak dan sahsiahnya.  Didik anak-anak kita supaya jaga solat walau di mana.  Sungguh iman itu tak dapat diwarisi.  Namun sekurang-kurangnya didikan yang berterusan itu mampu memasakkan dalam fikiran dan jiwa anak-anak kita mengapa perlunya solat.  Solat tiang agama.  Tiada solat maka hancurlah generasi kita akan datang.

Dalam pada itu juga pasakkan dalam minda mereka pentingnya tanggungjawab kendiri.  Tanggungjawab untuk diri sendiri yang utama itu akan berbalik kepada jaga solat.  Apabila tanggungjawab untuk solat ada ,maka sudah pasti akan timbul jati diri.  Jati diri inilah yang akan membuahkan kemenjadian murid.  Iaitu murid sudah tahu fokus hidup dan ada sasaran untuk ke akhirat.  Maka yang lahir nanti pastinya anak-anak yang jiwanya teguh,sukar dituntas  dan dipintas dengan anasir-anasir jahat.  Akhlak anak-anak akan lebih terjaga dengan sendirinya.  Di sinilah pentingnya asas solat.

Oleh itu dalam panduan tuisyen kali ini, suka saya ingin mengingatkan kalian di luar sana, memang kita inginkan anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan tetapi biarlah cemerlangnya dan cerdiknya itu bertempat.  Biarlah kepandaiannya itu boleh membawa kebaikan kepada ummah sejagat.  Biarlah kepandaiannya itu membawa seribu rahmat untuk alam.  Semoga Allah terus memberi hidayah dan memperbetulkan niat kita dalam mendidik anak-anak kita menjadi insan yang cemerlang dan terbilang dunia dan akhirat. 

Rahmah Allah jua di mana-mana.  Pasti ada hikmahnya.
Sekian.





Tuesday, 12 September 2017

TANAH LIAT

Entry: 55/100
Teks:Niyda
Foto: Google

Hari ini genaplah umurku yang ke 39 tahun.  Satu tahun lagi cukuplah 40 tahun.  Dah veteran.  Terasa diri sudah dewasa.  Semakin banyak perkara yang dipelajari.  Pengalaman demi pengalaman mengajar erti hidup.  Tujuan dan fokus hidup juga kini lebih terarah.  Sekarang bukan hidup untuk berlawan dengan orang lain tetapi lebih kepada berlawan dengan tujuan hidup sendiri.

Sangat sukar untuk mengawal disiplin.  Apatah bekerja sendiri.  Bila-bila masa boleh bermalas-malasan.  Itu cabaran bekerja dari rumah atau bekerja sendiri.  Sokongan dari keluarga dan rakan-rakan amat diperlukan buat masa ini agar apa yang ingin digapai dapat dicapai hendaknya. Amin..Insyaallah.

Tajuk yang ingin dibincangkan di sini hari ini ialah tanah liat. Apa yang bagusnya dengan tanah liat ini?  Apakah kebaikkannya untuk anak-anak kita?  Sebenarnya apa yang saya lihat trend terkini ramai anak-anak pada masa kini didedahkan dengan penggunaan tab sejak kecil.  Apabila anak-anak ini naik ke sekolah Tadika mereka seakan tidak pandai atau tidak boleh memegang pensil dengan betul.  Ramai yang saya perhatikan.  Disebabkan jari-jari mereka menjadi lembut, maka psikomotor mereka tidak dapat berfungsi dengan baik. 

Di sinilah peranannya penggunaan tanah liat bagi membiasakan psikomotor anak-anak ini.  Anak-anak yang diberikan pendedahan dengan penggunaan tanah liat yang berwarna warni ini akan lebih terangsang untuk minat belajar di samping memperkemaskan psikomotor mereka. 

Saranan saya ialah mahirkan anak-anak kita di peringkat awal lagi.  Ini sedikit sebanyak akan dapat membantu mereka dalam bab memegang pensil dengan betul.  Memegang pensil dengan betul sangat penting kerana ia membantu anak-anak kita menulis dengan kemas dan cantik.  Kegagalan mereka di peringkat awal akan membantutkan proses pembelajaran.

Sekian sahaja entry untuk kali ini.  Sehingga berjumpa lagi di lain masa.  Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh.



PENGGUNAAN ABAKUS

Entry:54/100
TEKS:Niyda
Foto: Google


Hari ini peperiksaan UPSR untuk hari ketiga.  Didoakan untuk anak-anak ini dapat menjawab soalan-soalan dengan tenang.  Semoga kejayaan menjadi milik mereka yang berusaha gigih.  Ada usaha ada hasil.

Hari ini juga saya cerita  tentang penggunaan abakus di sekolah.  Kebanyakkan ibubapa hari ini tidak sedar tentang silibus ini.  Mereka hanya sedar apabila diminta oleh guru untuk membelinya.  Silibus matematik hari ini untuk darjah 1 sudah mula memerlukan anak-anak menggunakan abakus.  Ini termasuklah untuk soalan lazim dan juga soalan berbentuk wang.  Walaupun soalannya tidak banyak, namun cukup untuk membuatkan beza markah gred A dan B.

Berikut saya kongsikan bagaimanakah penggunaan abakus secara asasnya.  Ibubapa yang lahir di tahun 70 an hingga 80 an saya fikir tidak pernah belajar tentang abakus ini di sekolah.  Ketika itu tidak ada soalan yang menghendaki murid-murid menggunakan abakus.  Jadi apabila ibubapa yang berada pada zaman ini mempunyai anak-anak yang belajar tentang abakus, mereka mula pening memikirkan bagaimana nak bantu anak mereka tentang penggunaan abakus.

Baiklah, untuk makluman jika dilihat pada rupa bentuk abakus ini kelihatannya satu biji akan berada di atas.  Ini maknanya mewakili kepada 5 biji.  Apabila ditarik kebawah,bacaannya akan menjadi 5.  Jika sebaliknya bacaan menjadi 0.

Untuk 4 biji buah yang berada di bawah pula, bacaannya untuk satu biji tersebut mewakili 1.  Apabila 1 biji dinaikkan keatas, bacaannya 1.  Kalau dua biji bacaannya 2.  Begitulah seterusnya.  JIka 1 biji di para atas sekali diturunkan yang mewakili 5 diturunkan dan 4 biji di bawah dinaikkan keatas, maka bacaannya 9.  Mudah bukan.  Adakah kalian mula pening? Hehehe…Saya akan cuba masukkan video nanti supaya senang anda semua nak faham.  Sekarang saya beri penerangan dalam bentuk tulisan dahulu.

Bacaan abakus ni kita ambil yang paling kiri sekali ye.  Diikuti dengan nombor seterusnya.  Jika dalam bentuk wang akan ada point merah untuk membezakan sen, ringgit,puluh ringgit,ratus,ribu dan juta.  Untuk yang silibus matematik darjah enam sekarang ini, jika kita lihat nombor yang sering keluar adalah dalam bentuk juta.  Berbanding zaman sekolah saya dahulu.  Rasanya nombor hanya setakat ribu dan puluh ribu sahaja.  Jauhnya dan betapa  lajunya sistem pendidikan sekarang meninggalkan kita.  Mungkin untuk akan datang jadi billion dan trillion pula kan.

Saranan saya biasakan anak-anak kita dengan alat bantuan belajar sejak dari kecil lagi supaya mereka tidak ketinggalan nanti.  Dunia berputar dengan laju.   Jika ibubapa sambil lewa, bimbang anak-anak kita akan jauh ketinggalan.  Kita tidak pakar dalam semua perkara.  Kita tidak pakar dalam  semua subjek-subjek di sekolah.  Namun kita berupaya membantu anak-anak kita dari segi menyediakan peralatan belajar di rumah.  Beri sokongan.  Insyaallah 50 peratus beban cikgu di sekolah sekurang-kurangnya telah kita bantu.  Sehingga berjumpa lagi di lain masa.

Kejayaan anak-anak milik ibubapa yang berusaha!

Niyda
01125452156


Pembayaran Kelas Membaca Bahasa Melayu Online One To One  https://niydztotstrainingconsultancy.onpay.my/order/form/2 Pembayaran Kelas Membac...